Mahathir boleh jadi ‘senjata makan tuan’ kepada Pakatan Harapan


Zulkiflee Bakar, Edisi 9

BENARKAH Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu yang mencadangkan nama Datuk Seri Mukhriz Mahathir untuk menjadi Timbalan Perdana Menteri II dan bukannya Tun Dr.Mahathir Mohamad?

Persoalan ini timbul apabila Mahathir berkata, cadangan itu bukan datang daripadanya. Kata beliau, Guan Eng dan Mohamad Sabu dalam kenyataan bersama pada 22 Jun lalu sudah sebut pelantikan Mukhriz sebagai TPM II.

Bagaimanapun berdasarkan laporan media berhubung kenyataan Setiausaha Agung DAP dan Presiden Amanah itu pada tarikh sebut, tidak menyatakan perkara berkenaan.

Apa yang berlaku nama Mukhriz muncul untuk memegang jawatan tersebut dalam pilihan pertama iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Tetapi seperti mana dinyatakan oleh Setiausaha Agung DAP Anthony Loke, cadangan itu tidak dapat diteruskan selepas dibantah oleh Warisan. Justeru Mahathir merujuk kenyataan bersama yang mana?

Tidak kiralah apapun keadaannya tetapi yang pasti tindak tanduk Mahathir kini mula ‘mengugat ketenteraman’ dalam Pakatan Harapan (PH) yang kini sudah ‘bertukar nama’ menjadi Pakatan Harapan plus.

Sememangnya beliau ‘hebat’, dalam usia 95 tahun dan tidak sampai lima tahun bekerjasama dengan pakatan itu beliau sudah mampu ‘menakluk’ dan menguasainya sehingga meminggirkan Anwar.

Mahathir berjaya ‘memikat’ DAP dan Amanah untuk menyokong beliau menjadi Perdana Menteri kali ketiga berbanding Anwar yang merupakan sahabat setia kepada kedua-dua parti itu sejak bertahun-tahun dan paling signifikan hubungan DAP yang mencecah lebih 20 tahun.

Manuver politik Mahathir yang tetap menolak Anwar sebagai Perdana Menteri telah menyebabkan hubungan antara parti-parti dalam PH terjejas.

DAP dan Amanah mahu PKR menerima cadangan supaya Mahathir diberikan tempoh enam bulan menjadi Perdana Menteri sebelum diserahkan kepada Anwar dan ia akan dilakukan melalui dokumen bertulis yang akan ditandatangani oleh semua kepemimpinan parti.

Tetapi Anwar dan PKR bertegas menolaknya kerana sudah tidak percaya lagi dengan janji-janji Mahathir. Lagipun adalah tidak cerdik, kalau mereka mahu mempercayai kata Mahathir kerana sejak awal lagi bekas Perdana Menteri itu memang tidak ikhlas untuk meletakkan Anwar di kerusi Perdana Menteri.

Dan sekarang Mahathir mencalonkan pula Datuk Seri Mohd.Shafie Apdal sebagai Perdana Menteri manakala Anwar berkongsi jawatan Timbalan Perdana Menteri dengan Mukhriz. Apakah itu standard Anwar yang berpuluh-puluh tahun menanti?

Kalau betul Mahathir kata ‘’saya nak bantu dia’’ (Anwar) sebab Anwar tidak ada majoriti, kenapa perlu Mahathir jadi Perdana Menteri dahulu kemudian serah kepada Presiden PKR tersebut?

Kenapa tidak bantu Anwar mendapat majoriti? Kenapa pula bila mencalonkan Mohd.Shafie, Mahathir kata, ‘’kalau sokong Mohd.Shafie sama dengan sokong saya’’?

Semua itu hanya helah Mahathir sahaja, oleh itu kalau betul pencalonan Mohd.Shafie belum muktamad kerana perlu dibawa ke mesyuarat PH terlebih dahulu seperti mana dikatakan oleh DAP dan Amanah, kedua-dua parti tersebut dan PKR perlu bertegas, bukannya mengikut telunjuk Mahathir.

Ketika ini ramai melihat Mahathir cukup berkuasa dalam PH biarpun tidak lagi menjadi Perdana Menteri dan hanya memiliki lima kerusi Parlimen.

Disebabkan ingin kembali berkuasa, DAP dan Amanah sanggup ‘meminggirkan’ Anwar biarpun menyatakan Ahli Parlimen Port Dickson itu tetap menjadi pilihan utama mereka menjadi Perdana Menteri.

Kalau itu tekadnya, kenapa bersedia menerima cadangan Mahathir sedangkan mereka tahu yang Ahli Parlimen Langkawi itu memang tidak mahu Anwar menerajui negara?

DAP dan Amanah sepatutnya sudah belajar daripada pengalaman pertama Februari lalu apabila semua parti menyatakan sokongan kepada Mahathir untuk terus menjadi Perdana Menteri.

Berikutan itu Mahathir tanpa berbincang dengan mereka bercadang menubuhkan Kabinet Perpaduan.

Walaupun hasrat itu tidak kesampaian apabila ia ditolak parti kerajaan dan pembangkang, tetapi seharusnya ia memberi pengajaran kepada mereka, itulah Mahathir apabila kuasa ada di tangannya.

Justeru mereka tidak perlu terkejut, kalau Mahathir membuat pengumuman mencalonkan Mohd.Shafie seolah-olah ia sudah menjadi keputusan rasmi PH.

Mahathir berani berbuat demikian kerana beliau tahu, walaupun tidak rasmi tetapi beliau yakin DAP dan Amanah akan bersama beliau.

Soalnya di manakah kredibiliti atau maruah komponen PH apabila ketika ini orang melihat Mahathir pula yang menentukan hala tuju pakatan tersebut, biarpun beliau ‘hanya menumpang kasih’.

DAP dan Amanah sepatutnya bertegas mempertahankan Anwar dan jika mereka tidak cukup majoriti untuk kembali berkuasa, mereka sepatutnya bersabar menanti Pilihan Raya Umum Ke-15, kalau mereka yakin rakyat menyokong mereka.

Mahathir bukan lagi ‘tokoh hebat yang boleh menjadi juara sebagai pendamai’ dalam meleraikan kekusutan isu calon Perdana Menteri daripada PH, sebaliknya Mahathir kini sedang mengundang kekalutan dalam pakatan tersebut.

Pemimpin-pemimpin perlu berhati-hati kerana tindak tanduk bekas Perdana Menteri itu boleh meletakkan mereka dalam situasi ‘senjata makan tuan’. Situasi sekarang bukan seperti PRU-14 yang mana Mahathir menjadi ‘senjata’ PH menumbangkan BN.

Populariti Mahathir sudah semakin merudum khususnya dalam kalangan orang Melayu dan keadaan menjadi ‘lebih parah’ apabila beliau kini sudah mewujudkan konflik dalam PH.

Jika komponen pakatan itu masih terus berharap kepada Mahathir, mungkin apa yang diucapkan oleh netizen, ‘’Terima kasih Tun huru-harakan PH’’ akan menjadi kenyataan.

 



Comments
Loading...