Muafakat Nasional alu-alukan BERSATU sertai gabungan


(Berita Harian) – Muafakat Nasional (MN) sentiasa mengalu-alukan penyertaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menganggotai gabungan itu.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa, berkata pihaknya sentiasa terbuka untuk mengadakan perbincangan berhubung perkara berkenaan selain mempunyai pengalaman bekerjasama dengan parti politik lain.

“Tiada apa-apa yang menghalang MN untuk bekerjasama dengan BERSATU dan kita perlu mula berbincang ke arah itu bagi memantapkan sistem politik negara, supaya dapat memberi khidmat lebih baik kepada rakyat,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini selepas membuat lawatan di Pasar Borong Kuala Lumpur.

Annuar berkata, mesyuarat MN yang julung kali akan disertai kepemimpinan BERSATU dan dijadual berlangsung malam ini, namun terpaksa ditangguh ke hujung minggu.

Katanya, kaedah untuk memperkukuhkan kerjasama antara ketiga-tiga pihak dan pembentukan gabungan secara formal adalah agenda utama akan dibincangkan pada mesyuarat berkenaan.

“Setakat ini gabungan kita masih longgar dan perlu teroka pelbagai kemungkinan untuk meningkatkan penyatuan dan perpaduan antara tiga parti utama dalam kerajaan.

“Mutakhir ini ‘politicking’ terlalu banyak dan banyak berbincang soal jawatan serta calon perdana menteri. Bagi saya itu merugikan kerana tak banyak perbincangan mengenai bagaimana kita nak memperkukuhkan keadaan.

“Kita bercakap soal perbezaan yang akhirnya menjadikan semua renggang. Sekarang kita mahu bercakap tentang persamaan antara parti dalam kerajaan, bagaimana boleh bermuafakat dan kerjasama untuk membentuk pentadbiran lebih kuat,” katanya.

Ditanya sama ada terdapat usaha memujuk BERSATU kembali menyertai UMNO, Ahli Parlimen Kerteh itu bagaimanapun menegaskan, perlu menghormati BERSATU sebagai parti politik dan sebahagian daripada kerajaan.

“Kalau mahu bawa balik BERSATU dalam UMNO kena dibincangkan dalam forum kedua-dua parti. Mereka (BERSATU) sudah ada ahli, jawatankuasa, perlembagaan dan proses pemilihan tersendiri. Kita tidak mahu ada sikap ‘big brother’ dan ‘small brother’,” katanya.

 



Comments
Loading...