UMNO tinggalkan Bersatu PRU15 – Razaleigh
(Edisi 9) – UMNO dipercayai akan meninggalkan Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang akan datang bagi membolehkan parti itu menang dalam kedudukan dominan.
Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, sekiranya UMNO tidak menang dalam kedudukan dominan, akan berlaku satu lagi siri ketidakstabilan politik.
“Bersatu tidak sepatutnya ada pun (dalam kemungkinan itu). Mereka (ahli UMNO) berasa bahawa ia (kerjasama) harus berlaku dalam kalangan Muafakat Nasional (MN) iaitu PAS,UMNO dengan rakan-rakan tradisi BN, MCA dan MIC,” katanya semasa bercakap kepada Channel News Asia.
Razaleigh menjelaskan, justeru itu barulah pakatan terbabit tidak akan ada masalah agihan kerusi.
“Tapi kalau kamu bawa Bersatu, kami mungkin akan berdepan (keputusan) pilihan raya yang menyebabkan kita berada dalam situasi ‘tergantung’ sekali lagi, tiada yang ada kedudukan dominan dan mempunyai majoriti jelas.
“Kemudian, kita akan menghadapi situasi yang sangat tidak stabil,” kata Ahli Parlimen Gua Musang itu.
Pada soalan adakah beliau percaya UMNO akan menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri pada PRU akan datang, Razaleigh percaya perkara itu tidak akan berlaku.
“Saya tak rasa begitu. Susunan di dalam Perikatan Nasional (seperti sekarang), hanyalah semata-mata demi memastikan kestabilan.
“Bila kita berdepan dengan PRU, itu satu situasi yang berbeza. UMNO akan fikir dan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya lagi.
Semalam, MN dilapor sepakat untuk menyokong Muhyiddin sebagai calon perdana menteri bagi PRU yang akan datang.