Rukun Negara, Kay Kim dalam lipatan sejarah negara


(Bernama) – HARIMAU mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.

Peribahasa itu cukup sesuai bagi menggambarkan jasa ditinggalkan Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim yang masih belum ada galang ganti terutama kepakarannya dalam sejarah tanah air.

Selepas lebih setahun tokoh sejarah itu meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru pada 28 Mei tahun lepas.

Buah fikiran dan pandangannya  yang sering dijadikan rujukan banyak pihak termasuk media itu masih dirindui lebih-lebih lagi menjelang sambutan Hari Kebangsaan ke-63 yang akan disambut 31 Ogos depan.

Sambutan 50 tahun Rukun Negara tahun ini juga sangat signifikan dengan mendiang yang merupakan seorang daripada tokoh yang terlibat dalam penggubalan Rukun Negara yang diisytiharkan pada 31 Ogos 1970.

Dikenali sebagai seorang yang tegas, berprinsip serta adil dalam memberikan perspektif sejarah negara, mendiang juga dikenali dengan semangat luhur berjiwa Malaysia.

Bapa saya sentiasa berbangga memperkenalkan dirinya sebagai bangsa Malaysia, menurut anak sulung mendiang, Eddin Khoo (gambar bawa) ketika berkongsi aspirasi bapanya tentang Rukun Negara dan perpaduan.

Eddin, 51, yang merupakan seorang penulis, aktivis kebudayaan dan penaung Pusaka, sebuah organisasi kebudayaan, menjadi penyambung legasi bapanya terutama dari sudut pemikiran dan pandangan tentang politik, sejarah dan budaya masyarakat Malaysia.

“Sebagai anak sulung daripada tiga beradik, saya rapat dengan ayah saya.

“Masa saya berumur lima dan enam tahun, saya sering ikut ayah memberi sesi penerangan di sekolah-sekolah dan banyak tempat di dalam negara.

“Secara tidak langsung dia memperkenalkan saya tentang Rukun Negara dan sejarah di tempat-tempat kami pergi membuatkan saya minat dengan pembicaraan ketika itu.

“Terutama bahasa Melayu ayah saya yang sangat fasih,” katanya berkongsi pengalaman bersama bapanya yang merupakan tokoh akademik disegani.

Jelas Eddin, keluarganya dibentuk dengan mengutamakan adab sopan terutama hormat kepada orang lain, bersikap terbuka dengan tidak melihat pada perbezaan kaum, agama dan kepercayaan sebaliknya menerima kepelbagaian yang ada.

Tiada semangat kesukuan dan perkauman yang wujud dalam rumah kerana saya dibesarkan sepertimana dibentuk ayah saya, katanya.

“Bapa saya ialah Cina peranakan dari Kampar, Perak, ibu saya (Puan Sri Rathi Khoo) orang Tamil manakala saya diasuh oleh seorang makcik Melayu dari Rembau yang tinggal dalam rumah kami bersama-sama.

“Ini satu pengalaman luar biasa apabila setiap masyarakat kaum terbesar di Malaysia ada di rumah saya termasuk amalan budaya, agama yang dipegang.

“Keadaan itu membuatkan saya tidak bersedia masuk ke dunia luar ketika itu kerana di luar banyak sikap perbezaan antara satu sama lain,” katanya kepada Bernama sempena sambutan ulang tahun ke-50 Rukun Negara bersempena sambutan Bulan Kemerdekaan dan Hari Kebangsaan 2020, yang dijadual 9 Julai depan.

Kunci utama penggubalan Rukun Negara hasil perundingan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) yang ditubuhkan selepas tercetusnya peristiwa 13 Mei 1969 adalah untuk memperkukuh dan mengembalikan perpaduan kaum bagi kehidupan bernegara yang aman dan harmoni.

Berkongsi pengalaman ketika mewawancara bapanya dalam satu program yang membincangkan  tentang Rukun Negara, Eddin berkata bapanya sangat terbuka dalam menerima pandangan banyak pihak.

“Perbahasan yang agak hangat ketika itu tentang prinsip pertama Rukun Negara, Kepercayaan Kepada Tuhan.

“Apa dirumuskan dalam perbincangan itu, kebanyakan orang ramai mempunyai agama dan kepercayaan kepada tuhan.

“Namun dalam perdebatan itu ayah saya tidak meminggirkan mereka yang tidak mempercayai tuhan seperti golongan ateis.

“Inilah semangat dan daya pemikiran untuk mengangkat perbicaraan sedalam-dalamnya,” kata beliau.

“Jelas Eddin, melalui pengalaman dan pemerhatiannya selama hampir 30 tahun terlibat dalam program kebudayaan di peringkat akar umbi, Rukun Negara yang menjadi panduan setiap warga Malaysia sudah bersemarak agak lama.

“Namun, penghayatannya masih kurang untuk masyarakat kita benar-benar memahami apa yang  terkandung dalam Rukun Negara,” katanya yang mengagumi seniman agung Tan Sri P. Ramlee dan Kartunis Datuk Mohammad Nor Khalid atau lebih dikenali sebagai Lat yang membawa aspirasi Malaysia yang sebenar.

Sebagai aktivis kebudayaan yang menjelajah ke seluruh negara, beliau yang banyak mengkaji kebudayaan Melayu terutama kesenian tradisi Kelantan, berharap usaha perlu diteruskan untuk meneroka idea-idea baharu bagi menyuburkan semangat Rukun Negara terutama dalam kalangan generasi muda.

“Walaupun (ayah) tidak mengajar lagi di universiti selepas bersara wajib pada 1992, pejabat ayah saya di Universiti Malaya sering dikunjungi pelajar dan anak muda yang inginkan pengetahuan.

“Saya tersentuh, lima tahun sebelum ayah meninggal dunia, beliau meninggalkan banyak pesan kepada anak muda.

“Ini satu kejayaan, saya fikir,” katanya, berpendapat bahawa masyarakat yang sering berbincang dan kadang kala berselisih faham adalah masyarakat yang matang.

 



Comments
Loading...