Azmi Sharom pangku tugas Pengerusi SPR


(Edisi 9) – Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Dr Azmi Sharom memangku tugas Pengerusi badan itu sehingga pelantikan baharu dibuat.

SPR dalam satu kenyataan berkata, ia berikutan peletakan jawatan Datuk Azhar Azizan Harun pada 29 Jun lalu, yang telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong sehari kemudian.

“Selaras dengan Perkara 114(7) Perlembagaan Persekutuan, Dr Azmi Sharom, selaku Timbalan Pengerusi SPR akan menjalankan tugas-tugas Pengerusi SPR sehingga pelantikan pengerusi SPR yang baharu,” kata kenyataan itu hari ini.

Peletakan jawatan Azhar dikaitkan dengan pencalonan beliau sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat yang baharu, susulan usul pengguguran Datuk Dr Mohd Ariff Mohd Yusof oleh Perdana Menteri.

Azhar dilantik sebagai Pengerusi SPR bagi menggantikan Tan Sri Mohd Hashim Abdullah yang tamat tempoh perkhidmatan pada 1 Julai 2018.

Azmi yang juga bekas pensyarah undang-undang Universiti Malaya merupakan aktivis masyarakat yang turut terlibat dalam pertubuhan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0).

Dalam pada itu, SPR merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Azhar atas sumbangan dan khidmat bakti beliau sepanjang memegang jawatan tersebut.

 



Comments
Loading...