Muhyiddin kena letak jawatan atau bubar Dewan Rakyat: Khalid Samad


(Malaysia Gazette) – Tan Sri Muhyiddin Yassin cuma ada dua pilihan. Pertama, beliau kena letak jawatan sebagai Perdana Menteri atau keduanya, menasihatkan Yang di-Pertuan Agong membubarkan Dewan Rakyat, kata Pengarah Komunikasi Parti Amanah Nasional (Amanah), Khalid Abdul Samad.

Katanya, andaian itu dibuatnya berikutan Muhyiddin sendiri tidak mempunyai angka tepat jumlah ahli Parlimen yang menyokongnya dan masih berpegang kepada jumlah akuan sumpah 24 Februari lalu.

Tegas beliau, jawapan sebenar sokongan dan kedudukannya itu akan diketahui pada sidang Parlimen pada Isnin ini.

“Kita kena ingat Perdana Menteri sedia ada (sekarang) memang tidak lagi terbukti dia mempunyai sokongan majoriti ahli Parlimen.

“Sepatutnya sidang Parlimen sesi pertama 19 Mei lalu sudah diketahui tetapi kerajaan Perikatan Nasional (PN) hanya menetapkan untuk Titah Diraja Tuanku Yang di-Pertuan Agong sahaja, selepas itu tamat.

“Isnin ini adalah peluang untuk kita dengar sama ada Muhyiddin dapat membuktikan dia ada sokongan majoriti ahli Parlimen atau tidak,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui pada program Retreat Amanah di sini hari ini.

Retreat dua hari bermula hari ini melibatkan Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan pemimpin Amanah peringkat pusat serta negeri.

Ditanya mengenai usul tidak percaya terhadap Muhyiddin yang akan dibawa oleh Pakatan Harapan (PH) Isnin ini, Khalid berkata, perkara itu tertakluk kepada kedudukan Speaker Dewan Rakyat.

“Kalau Speaker sekarang (Tan Sri Mohamad Ariff Md. Yusof) tidak ditukar, usul undi tidak percaya akan dibawa tetapi kalau speaker ditukar, maka usul undi tidak percaya tidak akan dibawa.

“Bagaimanapun penukaran ini, ketika speaker sedia ada tidak mempunyai sebarang rekod penyalahgunaan kuasa atau penyelewengan merupakan satu perkara bersejarah bagi Dewan Rakyat dalam negara Komanwel dan akan dikemukakan sendiri oleh Perdana Menteri.

“Sebelum ini, berlaku penukaran speaker kerana atas sebab pecah amanah dan tuduhan korupsi maka terpaksa ditukar. Dalam kes ini, hendak tukar speaker kerana sudah ada calon lain,” katanya.

Kata beliau, daripada segi prestasi, Mohamad Ariff cukup baik tetapi hendak dijatuhkan oleh kerajaan PN atas sebab usul undi tidak percaya yang akan dibawa oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad pada sesi sidang Parlimen 13 Julai ini.

 



Comments
Loading...