Pandai-pandailah ‘jaga mulut’, kalau tidak mahu PN bergolak


Zulkiflee Baka, Edisi 9

PERIKATAN Nasional (PN) ditubuhkan apabila Bersatu keluar daripada Pakatan Harapan (PH) sehingga mendorong Tun Dr.Mahathir Mohamad yang tidak mahu menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadikan ia alasan untuk meletakkan jawatan.

Tindakan Dr. Mahathir yang ketika itu merupakan Pengerusi Bersatu telah menyebabkan Kerajaan PH tumbang selepas 22 bulan memerintah.

Bagi menyelamatkan negara yang sedang berhadapan dengan pandemik Covid-19, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin bergabung bersama UMNO dan Pas menubuhkan Perikatan Nasional (PN). Gabungan itu turut disertai oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS).

UNNO dan Pas menyertai PN bukan kerana ‘gila’ mahu berkuasa semula tetapi atas semangat perpaduan Melayu dan kepentingan umat Islam serta kesejahteraan rakyat dan keseluruhannya.

Malangnya, sejak kebelakangan ini beberapa pemimpin Bersatu mula ‘besar kepala’ dengan membuat kenyataan yang menggores hati UMNO. Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr.Latiff Ahmad yang menang kerusi itu atas tiket UMNO sebelum melompat ke dalam Bersatu menyifatkan UMNO sudah tidak laku di Sabah.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Wan Mohd Shahrir Wan Abdul Jalil pula menegaskan, UMNO yang mengetuai Barisan Nasional (BN) mempunyai pengalaman yang cukup luas dalam mentadbir negara, namun parti itu masih mempunyai masalah dari segi integriti.

Terbaru, Tan Sri Dr.Rais Yatim menyatakan rasa terkilan terhadap kepemimpinan UMNO yang dilihat mementingkan kerusi yang akan ditandingi berbanding mempertahankan kuasa Melayu Islam. Malah beliau juga berkata;

‘’Walaupun (UMNO) daripada parti yang kalah tetapi ia mendapat kedudukan hebat dan puluhan (jawatan) GLC. Jadi saya tidak faham kenapa.’’

Atas alasan apa sekalipun, tindakan menggunakan perkataan, ‘’parti tidak laku’’, ‘’mempunyai masalah dari segi integriti’’ dan ‘’parti yang kalah’’ tidak boleh diterima kerana ia dilihat memperlekehkan UMNO. Sepatutnya sebagai rakan dalam satu komponen, mereka seharusnya berhati-hati bila bercakap.

Justeru Bersatu atau penyokong mereka tidak boleh marah, apabila ada pemimpin UMNO bertindak balas sebaliknya mereka perlu memahami mana-mana pemimpin pun tidak akan membiarkan partinya dihina atau diperlekehkan.

Situasi ini sudah tentu tidak akan menguntungkan sesiapa khususnya PN. Kerukunan, kedamaian dan permuafakatan dalam PN harus dipelihara dan bukannya, digolakkan dengan keceluparan!

Perlu diingat, UMNO bukanlah parti picisan, hampir kesemua pemimpin Bersatu berasal daripada UMNO dan paling signifikan ada ahli Parlimen mereka menang atas tiket UMNO dalam PRU-14 lalu, jadi cerminlah diri sebelum membuat kenyataan yang dianggap biadab dan keterlaluan.

Mungkin apa yang penulis katakan  tidak akan menyenangkan banyak pihak tetapi inilah faktanya. PN tidak akan aman jika ada mana-mana pemimpin dalam komponen itu tidak tahu ‘jaga mulut’, bercakap ikut suka hati seolah-olah parti mereka paling berkuasa.

Apabila UMNO dan Pas bersetuju untuk menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri jika pilihan raya umum diadakan secara mengejut, ia bukan ‘tiket’ kepada mana-mana pemimpin Bersatu untuk dilihat ‘besar kepala’ atau ‘kaduk naik junjung’.

Dalam politik segalanya berkemungkinan. Hormatilah kesepakatan dalam PN. Penulis percaya Muhyiddin sendiri tidak selesa dengan apa yang berlaku kerana tumpuan sepatutnya adalah memperkukuhkan PN demi meneruskan agenda membangunkan negara dan mensejahterakan rakyat.

Soal pembahagian kerusi mahupun jawatan Perdana Menteri perlu diselesaikan secara dalaman dan senyap-senyap bukannya diperdebatkan secara terbuka sehingga mengundang kepada musuh-musuh PN untuk ‘menangguk di air keruh’ bagi menghancurkan kesepakatan PN.

Sebelum ini mereka gentar apabila tiga parti Melayu berada di dalamnya dan mereka gerun dengan Muafakat Nasional (MN) yang disepakati oleh UMNO dan Pas.

Namun kegentaran dan kegerunan itu akan berakhir jika segelintir pemimpin Bersatu atau UMNO terus membuat kenyataan yang boleh mengundang perpecahan dalam PN.

Sebelum ini, ‘musuh-musuh’ PN sudah membuat spekulasi bahawa apabila UMNO dan Pas bekerjasama dengan Bersatu ia akan mewujudkan perbalahan dari segi pembahagian kerusi. Mereka hanya menanti masa untuk ‘tumpang semangkuk’.

Sebab itulah, kita lihat bagaimana ada pemimpin PH yang ‘menyibuk’ bercakap soal pembahagian kerusi antara ketiga-tiga parti itu dan meramalkan PN akan berpecah kerana isu tersebut. Impian mereka akan tercapai jika segelintir pemimpin ketiga-tiga parti itu tidak berhati-hati dalam tindakan serta percakapan.

Tidak dapat dinafikan orang Melayu bersyukur apabila MN ditubuhkan dan mereka berasa gembira apabila PN dilahirkan, tetapi mereka akan kecewa jika pemimpin-pemimpin Melayu terus kekal dengan perangai lama, bertelagah tidak habis-habis.

Jangan lupa sudah ada dalam kalangan pemimpin PH dan NGO yang menyokong mereka kini semakin lunak bercakap soal Melayu. Kenapa mereka berbuat demikian walaupun mereka bersekutu dengan DAP? Sebabnya mereka tahu tahu sokongan kaum itu kini sedang bersama dengan MN dan PN.

Dengan bernada lunak termasuk mempersoalkan apakah PN sudah buat bagi memperjuangkan nasib orang Melayu, mereka berharap orang Melayu akan bersama mereka. Mungkin kita boleh berkata, ia tidak akan berlaku tetapi ia boleh berlaku, jika perbalahan dalam PN akibat keceluparan segelintir pemimpin khususnya daripada Bersatu berpanjangan.

Oleh itu hentikan pertelagahan yang semakin panas ini. Apa-apa masalah bawa ke meja rundingan, beri sepenuh kepercayaan kepada barisan kepemimpinan masing-masing membincangkannya secara musyawarah, kesepakatan dan persaudaraan.

Janganlah buat kenyataan melampau atau memperlekehkan sesama komponen yang akhirnya boleh menimbulkan kemarahan. Cukuplah, tak kanlah apa yang berlaku dalam PRU-14 masih belum lagi memberi keinsafan?

Kalau betul mahu memperjuangkan kuasa politik Melayu, kalau betul mahu menumpaskan PH dan kalau betul mahu melaksanakan agenda demi kesejahteraan umat Islam dan rakyat Malaysia keseluruhannya, maka pastikan jangan berpecah belah dan paling penting ‘jagalah mulut’.

 



Comments
Loading...