Anwar enggan jawab kejatuhan PH angkara Tun M
(Malaysia Gazette) – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim enggan menjawab persoalan samada semua kemelut yang dihadapi oleh Pakatan Harapan (PH) adalah angkara bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yang bingkas bangun mencelah bertanyakan persoalan adakah beliau bersetuju semua yang berlaku ini adalah angkara Mahathir.
Anwar bagaimanapun tidak menjawab pertanyaan itu.
“Saya mahu melihat kehadapan maju sebagai satu pasukan dan bawa perubahan di negara ini.
“Saya ada sejarah penuh derita puluhan tahun.
“Tidak ada orang di negara ini yang lalui demikian saya seorang sahaja,” katanya ketika sesi perbahasan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini.
Pada awal perbahasan beliau, Anwar berkata, beliau bukan penyokong kuat Mahathir.
“Saya bukan pendukung kuat Langkawi,” katanya dengan disambut ketawa ramai Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.
Dalam pada itu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, beliau berasa lebih dikhianati apabila ada pemimpin-pemimpin parti itu yang mulanya kuat mempertahankan Mahathir untuk memegang jawatan Perdana Menteri selama sepenggal namun bersikap mengkhianati bekas pemimpin PH itu.
“Tiga hari sebelum itu terpekik terlolong nak pertahan Ahli Parlimen Langkawi mati-matian sampai habis penggal.
“Tiga hari selepas itu lompat macam katak. Itu yang kita sebut tentang pengkhianatan. Jadi yang bersangkutan jangan marah sangat,” katanya lagi.
Kerajaan PH tumbang selepas Dr. Mahathir meletak jawatan sebagai Perdana Menteri pada Februari lalu.
Selepas itu, Bersatu menarik diri dari PH dan mencetuskan krisis yang menyaksikan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melantik Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri untuk mengetuai kerajaan yang terdiri daripada UMNO, Pas, dan Bersatu yang menyokong Muhyiddin.