Speaker Dewan: Mengapa PAS tak bantah?


SETELAH menunggu agak lama untuk Kerajaan PN mengadakan Sidang Parlimen kerana masalah COVID-19, akhirnya pada Isnin 13 Julai, maka bertembunglah dua pasukan kerajaan yang baharu dengan pembangkang. Bagi pemerhati politik, sangkaan bahawa Parlimen kali ini akan menjadi lebih ‘meriah’ adalah tepat sekali. Ini kerana sebelum ia berlangsung lagi, beberapa hari sebelumnya, sudah diketahui apa usulnya.

Dua usul yang sangat penting bagi menentukan perjalanan persidangan iaitu usul bagi mengosongkan kerusi Speaker dan Timbalan Speaker Dewan untuk digantikan dengan Speaker dan timbalannya yang baharu. Setelah berperang mulut, bersilat lidah, akhirnya ia berjaya diluluskan dengan 111 menyokong dan 109 menentang. Tan Sri Mohamad Arif Md Yusof kemudiannya digantikan dengan Datuk Azhar Azizan Harun. Manakala Nga Kor Ming meletakkan jawatan sebagai timbalan diganti YB Datuk Azalina Othman.

Kepetahan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hassan dari PAS telah menenggelamkan cubaan pembangkang untuk menghalang usul ini daripada diteruskan. Begitulah keadaannya. Mana-mana kerajaan tidak akan membiarkan kerusi Speaker diserahkan kepada orang yang tidak boleh melancarkan agenda kerajaan di dalam persidangan. Kuasa Speaker di peringkat DUN dan Parlimen, amat besar.

Apabila Speaker memutuskan, tiada sesiapa yang boleh melawan sewaktu persidangan berlangsung. Bila Ahli Parlimen diarahkan keluar, maka keputusan itu tidak boleh dibantah oleh mana-mana Ahli Parlimen lain. Masih ingat bagaimana Speaker DUN Selangor yang memendekkan hanya kepada dua hari persidangan setelah tidak mahu usul bagi mengubah perkataan dalam enakmen yang berkaitan penukaran agama dahulu? Itulah antara tanda kuasa Speaker.

Peruntukan undang-undang memberikan kuasa penuh bagi Speaker menafsirkan peraturan Parlimen atau DUN. Dan keputusan penafsiran dari Speaker itu adalah muktamad. Walau bagaimanapun, Speaker Parlimen bukanlah terdiri daripada kalangan yang hanya diperlukan untuk memenuhi syarat. Pada umumnya, mereka adalah daripada mereka yang mempunyai kelayakan yang tinggi, terutama berkaitan perundangan. Berbeza dengan Speaker di DUN, tidaklah semuanya berlatar belakangkan perundangan.

Timbul persoalan, dengan sebegitu besar kuasa yang dimiliki oleh Speaker, mengapa PAS menyokong Datuk Azhar Harun atau Art Harun? Umum mengetahui Art Harun adalah pendukung PH, sehinggalah beliau dilantik menjadi Pengerusi SPR. Dikatakan mengenai latar belakang hidupnya yang tidak menyukai Islam. Beberapa kali berkonfrontasi dengan PAS berkenaan agama. Rakan baik beliau ialah Siti Kassim. Rekod beliau yang dilihat Liberal itu, terpampang di media sosial.

PAS sering menjadi tanda aras bagi keIslaman seseorang dalam politik. Begitulah kuatnya pengaruh Islam yang dibawa oleh PAS, kerana jika ada sahaja perkara yang dianggap sebagai bertentangan dengan Islam dan hal itu ada berdekatan dengan PAS, maka PAS akan di’boo’ sebagai bersekongkol dengan perkara yang haram yang tidak menyamai kehendak Allah. Maka persepsi mesti diwujudkan musuh agar PAS dilihat sudah lari dari landasan Islam yang sebenarnya.

Pada awalnya tugas sebegini agak sukar kerana ahli dan pengikut PAS ramai yang berilmu, sentiasa mengikuti kelas-kelas pengajian, usrah-usrah, liqa’, rehlah, seminar anjuran parti dan banyak lagi. Maka penebukan pemikiran melalui lubang yang salah, tidak diterima oleh ahli PAS. Disebabkan itulah JIM suatu masa dahulu, terpaksa menyelinap masuk ke dalam PAS kerana sukarnya mahu menyerang dari luar. Utuhnya benteng dalam sistem perkaderan, tarbiyyah, dakwah dan organisasi PAS.

Namun masa berubah, kaedah juga turut terkesan dengan perubahan yang berlangsung. Ahli-ahli PAS lebih menyukai untuk menerima tarbiyyah terus dari media sosial. Penyakit merasa diri cerdik ini adalah penyakit lama yang berlaku dalam mana-mana jamaah. Apa sahaja berita yang diterima, ianya mesti dijawab oleh pimpinan kerana desakan ahli. Dari mana sumber, bukan soalnya, tetapi mesti dijawab.

Maka kerja musuh menjadi lebih mudah dan tugas pimpinan PAS pula menjadi lebih getir, hasil dari sikap ahli PAS sendiri. Persepsi ciptaan musuh kini bagaikan diterima sebagai berita utama, memudahkan kerja lawan. Tidak sedikit ahli PAS yang mempercayainya. Kumpulan musuh luar juga tidak perlu masuk sehingga ke usus PAS bagi mengucar-kacirkan jamaah. Cukuplah dengan menunjukkan sedikit kecerdikan mereka bagi memikat hati ahli, lupa kepada pimpinan sebenar mereka.

Menyokong pemilihan Art Harun sebagai Speaker Parlimen bukanlah termasuk dalam satu perkara yang akan memartabatkan Islam. Itu benar. Tetapi ianya sebagai salah satu daripada adegan ulangan PAS apabila berhadapan dengan mudharat yang lebih besar, mana yang mahu dipilih. Memilih TS Arif yang jelas menyokong PH dan anak-anaknya juga menjadi orang yang dekat dengan DAP atau memilih Art Harun yang cenderung kepada PN.

Pasti ada di antara orang akan berkata apa bezanya mereka berdua daripada PH. Ya, dari satu sudut benar. Tetapi lihat daripada satu sudut yang lain, Perdana Menteri (PM) kita juga asalnya PH. Malah sebahagian daripada BERSATU masih menyokong PH, duduk di kerusi pembangkang, masih bercita-cita mahu merampas kembali kerajaan ini. Dan jika diikutkan, amat mudah bagi mereka, hanya memujuk PM dan kerusi yang ada bergabung bersama mereka adalah melebihi 112, jumlah majoriti mudah.

Jadi kenapa kita memilih Tan Sri Muhyiddin Yassin (TSMY) sebagai PM? Kita dengan mudah jatuh dari kerajaan jika TSMY mengubah fikiran dan pasukannya. Ia kerana kita ada nilai yang lebih besar iaitu menjatuhkan PH yang ada DAP di dalamnya. Mudharat DAP kepada Islam lebih besar berbanding dengan PH yang tanpa DAP. Jadi kita terpaksa membeli sesuatu secara pakej dan pakej itu terpaksa kita ambil sekali kerana buat masa ini, itulah sahaja pilihan kita.

Melihat dari sudut pandang yang lain pula, Art Harun bukanlah penggubal undang-undang. Beliau juga berseorangan, bukan satu parti besar seperti DAP dan lebih mudah dikawal. Pergerakan beliau juga perlu mengikut kepada kehendak PM dan kerajaan yang memerintah. Harus diingat juga kerajaan ini adalah Kerajaan PN. PAS tiada apa-apa perjanjian khusus dengan mereka. Yang dipersetujui bersama ialah tidak membiarkan PH dan DAP menguasai kerajaan.

Asas kepada isu ini adalah sama dengan asas ketika PAS mahu berkerjasama dengan DAP dahulu, malah ia lebih besar dibincangkan berbanding isu sekarang. Memilih contoh kisah Abdullah bin Uraiqi’ di dalam sirah ketika mahu berhijrah, ahli-ahli PAS ketika itu menghafal kisah ini sebagai dalil. Itu ketika mahu berkerja bersama kafir. Tetapi sekarang, hujah itu seperti hilang. Mudharat yang mana mahu dipilih seperti tiada.

Sedangkan PAS hanya penumpang di dalam PN. Kerusinya tidak banyak. Bukan dominan. Adakah kerana mahukan seorang Speaker yang Islamis, kita kemudiannya terpaksa berperang pula dengan TSMY, Umno dan kemudiannya menyebabkan mereka kembali bergabung dengan PH yang ada DAP di dalamnya? Begitu juga nanti jika MN menguasai pemerintahan. Mesti diingat, kita memilih Umno sebagai rakan kongsi kita. Cacat celanya terutama dalam Islam, kita mesti terima.

Jika anda mahu berpolitik dan politik anda seperti galah, lurus dan tidak berbengkok, maka ada lebih baik anda terus menjadi galah. Boleh juga diguna untuk mengait buah daripada konon mahu menegakkan Islam, tetapi jalannya salah.

Sudah berapa kali pimpinan PAS menunjukkan jalan yang betul dengan ijtihad politik mereka dan kita melawannya. Sudah berapa kali juga akhirnya kita menyesal setelah kemusnahan berlaku? Sesungguhnya anda adalah golongan isti’jal iaitu golongan yang gopoh dan gelojoh. Sudah kesekian kalinya Presiden PAS berpesan supaya sabar dalam berjuang dan berdakwah kerana jalannya panjang dan beronak. Di mana nasihat itu diletakkan?

MOHD NASIR ABDULLAH

 



Comments
Loading...