Kem Dr M sambut baik cadangan sertai Warisan, tapi belum putuskan


(Malaysiakini) – Kem Dr Mahathir Mohamad menyambut baik cadangan Warisan untuk meminda perlembagaan parti bagi membolehkan bekas perdana menteri itu menyertai parti berkenaan.

Bagaimanapun, senator Marzuki Yahya berkata setakat ini kumpulannya belum membuat sebarang ketetapan berhubung perkara tersebut.

Marzuki berkata ini kerana sebarang ketetapan hanya akan dibuat sebaik sahaja Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan sama ada membenarkan permohonan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin untuk membatalkan saman oleh Mahathir dan empat yang lain, berhubung tindakan pemberhentian keahlian mereka daripada parti.

Keputusan berhubung permohonan itu akan diketahui pada 7 Ogos depan.

“Kita menyambut baik cadangan yang dibuat oleh Warisan. Tetapi buat masa ini kita belum membuat sebarang keputusan lagi sama ada kita mahu menyertai Warisan atau pun tidak.

“Bagaimanapun Tun Mahathir telah mengeluarkan kenyataan bahawa selepas 7 Ogos ini kalau sekiranya mahkamah tidak memihak kepada kita kemungkinan kita akan adakan platform baru yakni kemungkinan besar parti baru atau pun kita berbincang juga dengan Warisan.

“Namun, Warisan adalah sebahagian daripada gabungan kita bersama-sama dengan Tun Mahathir di dalam gabungan bebas,” katanya kepada Malaysiakini.

Marzuki berkata demikian mengulas cadangan Warisan untuk kumpulan Bersatu yang setia kepada Mahathir menyertai parti itu.

Pengerusi tetap Warisan, Liew Vui Keong, semalam berkata Warisan sedia meminda perlembagaan parti mereka sekiranya Mahathir berminat untuk menyertai parti itu.

Menurut anggota parlimen Batu Sapi itu, pindaan tersebut perlu dilakukan kerana ketika ini keanggotaan Warisan tidak terbuka untuk orang bukan Sabah.

Katanya, peruntukan dalam perlembagaan tersebut boleh diubah jika ada keperluan.

Mengulas lanjut, Marzuki sekali lagi menegaskan bahawa semua langkah kumpulannya itu kini bergantung kepada keputusan mahkamah 7 Ogos ini.

Bersatu hilang arah tuju

“Ya (segala ketetapan parti bergantung kepada keputusan mahkamah 7 Ogos ini), sebab kalau sekarang ini seperti semua sedia maklum pemecatan Tun Mahathir, pelucutan jawatan Tun bersama yang lain adalah tidak mengikut perlembagaan parti, dan yang terbaru pula pelucutan bekas setiausaha agung juga yang pertama iaitu Datuk Shahruddin (Md Salleh) juga tidak mengikut perlembagaan parti.

“Maka hari ini Bersatu telah hilang arah hala tujunya yang sebenar dan kesemua pengasas parti yang menyatakan kebenaran semua diambil tindakan. Maka ini menampakkan Bersatu ini telah di hijack oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Maka sebab itu kita beranggapan bahawa perlu untuk kita ada platform baru, sama ada parti baru atau kita bersama-sama dengan Warisan,” katanya.

Mahathir sebelum ini merupakan pengerusi Bersatu – jawatan tertinggi parti itu mengikut perlembagaan – sebelum berlaku krisis dalaman yang menyaksikan keanggotaan beliau didakwa gugur dan status sebagai pengerusi dipertikaikan.

Turut berdepan masalah sama ialah lima lagi anggota parlimen, termasuk Mukhriz Mahathir, Dr Maszlee Malik, Amiruddin Hamzah dan Marzuki sendiri.

Semasa sidang Dewan Rakyat Mahathir dan penyokongnya duduk di kawasan ahli parlimen bebas.

Mereka adalah kumpulan yang menyokong idea menamakan Presiden Warisan, Mohd Shafie Apdal, sebagai calon perdana menteri dari pembangkang.

Langkah itu dianggap perlu dalam usaha pembangkang mendapat sokongan mencukupi daripada ahli parlimen bagi mengembalikan semula kerajaan kepada Pakatan Harapan (PH).

Sehingga kini, Mahathir dan ahli parlimen yang setia kepadanya belum membuat keputusan sama ada akan menyertai parti lain atau menubuhkan parti baru.

Akar umbi masih sokong

Sementara itu, mengulas sokongan terhadap parti baru yang kemungkinan bakal diwujudkan itu, Marzuki berkata akar umbi Bersatu masih bersama mereka.

“Setakat hari ini akar umbi Bersatu yang bersama-sama dari awal penubuhan masih bersama dengan kita dan mereka menyatakan sokongan penuh dan gerakan-gerakan kita yang mana penerangan yang kita dah lakukan kepada ahli cukup jelas dan mereka juga membuat keputusan untuk bersama-sama dengan kita sekiranya kita ada platform baru,” katanya.

Manakala mengulas perjalanan kempen ‘blackout’ yang sedang bergerak ketika ini, Marzuki berkata program seterusnya dijangka akan berlangsung sama ada di Perak atau di Selangor.

“Kempen black out ini adalah kempen untuk kita menyatakan ketidaksokongan kita dengan apa yang dilakukan oleh kepimpinan parti, terutama presiden parti yang mana segala yang mereka lakukan diantaranya adalah bekerjasama dengan Umno dan PAS adalah satu daripada perkara yang tidak pernah dibuat oleh parti.

“Bagaimanapun, kita belum putuskan lagi (di mana program seterusnya), kemungkinan kita akan adakan di Perak atau Selangor dan kemungkinan besar di Melaka,” tambah Marzuki.

 



Comments
Loading...