Azeez dengan jiwa terbuka setuju ajakan debat Mujahid
(Suara Merdeka) – BEKAS Pengerusi Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim menyahut cabaran bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof untuk berdebat berkaitan isu Tabung Haji.
Menurut Ahli Parlimen Baling itu, beliau dengan jiwa yang terbuka bersetuju ajakan debat yang dibuat oleh Ahli Parlimen Parit Buntar itu.
“Hari ni saya mendapat satu jemputan debat dan saya dengan jiwa yang terbuka bersetuju dengan cadangan ini. Semoga ahli panel yang dicadangkan, YB Parit Buntar dapat memberikan jawapan untuk cadangan debat ini.
“Saya menunggu maklum balas dari pencadang sama ada YB Parit Buntar sudi dengan jemputan ini. Kebetulan hari raya korban nak dekat dah ni,” kata Abdul Azeez.
Abdul Azeez memberi cadangan agar debat tersebut diberi tajuk ‘Tabung Haji: Di Mana Silapnya?’ Tarikh perdebatan pada 28 Julai pada pukul 8.30 malam di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.
Abdul Azeez turut menyarankan agar Timbalan Presiden Angkatan Karyawan Nasional Ayatullah Helme Mohd Hanafi dipilih menjadi moderator untuk perdebatan tersebut.
Mujahid mahu berdebat dengan Azeez, tolak berdebat dengan Asyraf.
Media melaporkan Mujahid mengajak Abdul Azeez untuk berdebat mengenai isu-isu berkaitan Tabung Haji.
Naib Presiden AMANAH Nasional itu berkata, beliau mahu berdebat secara terbuka dengan Abdul Azeez selepas Ahli Parlimen Baling itu galak mencelah ketika dia berucap di Parlimen pada 15 Julai lalu.
“Saya tiada masalah untuk menjemput supaya Pengerusi Tabung Haji yang dahulu, Abdul Azeez untuk berdebat. Ketika saya berucap di Parlimen, dia ganggu dan nak pertahankan hujah dia, jadi ayuh kita berdebat.
“Saya nak berdebat dengan dia ini. Kita bentangkan apa yang didakwa. Dia kata ada fakta, tak apa, dedahkanlah supaya jangan ada beringat-ingat seperti di Parlimen baru-baru ini.
“Kita dedahkan secara aman, damai, bertamadun dan kita serahkan kepada rakyat untuk menilai,” ujarnya seperti yang dilaporkan oleh Malaysia Dateline.
Mujahid berkata, dia sudi berdebat dengan Abdul Azeez kerana bekas Pengerusi Tabung Haji itu merupakan seorang Ahli Parlimen.
“Orang tanya, kenapa Datuk Seri Azeez, kenapa tak nak berdebat dengan (Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Datuk Dr.) Asyraf Wajdi? Asyraf bukan ahli Parlimen.
“Azeez ini ahli Parlimen dan dia Pengerusi TH. Asyraf dulu dia pegang jawatan Timbalan Menteri, satu patah perkataan tidak keluar tentang TH. Kenapa pula hari ini dia (Asyraf Wajdi) berlebih-lebih dan saya perlu berdebat dengan dia?” soalnya lagi.