Shafie mahu laporan cubaan beli wakil rakyat Sabah disiasat


(FMT) – Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal hari ini menggesa pihak berkuasa menyiasat laporan tentang cubaan ejen politik membeli wakil rakyat negeri itu.

Ahli Parlimen Semporna itu berkata sebilangan wakil rakyat membuat laporan polis mendakwa mereka didekati individu seperti itu baru-baru ini dan mengajak mereka sertai pembangkang.

“Saya harap apabila kami buat laporan polis mengenai perkara itu, pihak berkuasa akan siasat. Kami mahu tahu penemuannya,” katanya kepada pemberita di pejabatnya hari ini.

Siasatan itu mesti dilakukan secara terperinci bagi membongkar siapa yang menghantar individu seperti itu untuk mendekati wakil rakyat Sabah.

“Kita tidak boleh membiarkannya begitu saja kerana ini akan mengganggu keamanan negeri dan negara.”

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan surat pelantikan kepada Peguam Besar Sabah yang baru, Brenndon Keith Soh.

Adun yang bersekutu dengan gabungan Warisan, Upko, DAP dan PKR mendakwa ejen politik mendekati mereka dengan tawaran wang dan jawatan sekiranya mereka berhijrah.

Dakwaan ini muncul di sebalik khabar angin mengenai kedudukan kerajaan negeri.

DAP Sabah mendakwa semua kecuali seorang wakil rakyatnya didekati individu seperti itu, sementara sekurang-kurangnya 4 wakil rakyat Warisan berkata mereka juga didekati.

Sebanyak 3 laporan polis dibuat selepas pertemuan yang didakwa itu, oleh Adun Moyog Jenifer Lasimbang, Adun Kapayan Jannie Lasimbang, dan Adun Elopura Calvin Chong Ket Kiun.

Shafie juga menepis dakwaan pemimpin pembangkang Sabah dan Presiden STAR Jeffrey Kitingan yang mendakwa Warisan mengancam wakil rakyat sendiri dan menyembunyikan mereka kerana takut mereka akan berhijrah.

“Kenapa saya perlu sembunyikan mereka?” katanya. “Mereka ke sana sini. Saya tak urus pergerakan di lapangan.”

Beliau juga menegaskan kerajaan negeri tetap utuh.

Berhubung cakap-cakap mengatakan Warisan mungkin jadi parti nasional, beliau berkata belum ada keputusan setakat ini.

“Saya tak ya atau tidak, tapi kami akan tengok,” tambahnya.

“Perkara ini mesti dibentangkan dalam mesyuarat majlis tertinggi parti terlebih dahulu.”

 



Comments
Loading...