Shafie dakwa ada cubaan beli, ganggu ADUN Sabah


(Suara Merdeka) – Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Shafie Apdal mendakwa terdapat cubaan untuk membeli Ahli Dewan Undangan Negeri kerajaan Sabah.

Justeru beliau meminta agar cubaan yang dianggap sebagai amalan tidak sihat itu dihentikan segera.

“Saya tidak menafikan ada cubaan membeli ADUN namun, jika orang itu tidak mahu dibeli, cukup-cukuplah. Mereka ini bukan untuk dijual.

“Amalan membeli ADUN ini adalah amalan tidak sihat dan yakin ADUN kerajaan cukup matang untuk membuat keputusan.

“Tapi, saya dengar yang melompat ini mahu u-turn juga. Tidak tahu betul atau tidak, ini cakap-cakap sahaja,” kata Shafie dalam Facebooknya.

Presiden Warisan itu turut mendakwa cubaan itu termasuk mengganggu ketenteraman ADUN terbabit.

Menurutnya, ada ADUN yang ditemui pihak tertentu sehingga masuk ke dalam rumah wakil rakyat berkenaan.

Shafie mendakwa, kehadiran pihak berkenaan bukan berlaku sekali tetapi berulang kali sehingga menggugat ketenteraman ADUN terbabit.

“Dikatakan ada orang jumpa Yang Berhomat Kerajaan. Wakil siapa dia? Siapa dia yang jumpa YB itu adakah mereka ini mahu membentu kerajaan atau mahu menjadi Ketua Menteri, mahu jadi kerajaan pemerintah. Saya yakin ada pihak lain dibelakang mereka ini.

“Kepada sesetengah pihak yang mungkin sudah lupa bahawa negara ini mempunyai undang-undang dan tindakan menggangu gugat ketenteraman wakil rakyat sehingga datang ke rumah mereka perlu disiasat dan tidak boleh dibiarkan begitu sahaja,” kata Shafie.

Menurutnya, jika keadaan tersebut berterusan ia boleh menjejaskan ketenteraman di peringkat negeri dan juga negara.

Shafie berkata, laporan polis telah dibuat dan berharap siasatan terperinci dilakukan oleh pihak berkuasa.

“Saya mahu siasatan secara menyeluruh dilakukan terhadap tindakan pihak tertentu yang mengganggu gugat ketenteraman Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan Sabah.

“Laporan polis juga telah dibuat dan diharap siasatan terperinci akan dilakukan bagi mengenal pasti siapa yang menghantar mereka, siapa yang menyuruh mereka untuk mendesak serta mengugut wakil rakyat kerajaan,” kata Shafie.

Shafie juga memberitahu, dia akan menyuarakan isu tersebut di dalam Dewan Rakyat.

 



Comments
Loading...