Tenangnya Najib berbanding Tun M, Anwar


ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY

SEJURUS didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi semalam atas 3 pertuduhan utama salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram dan dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, bekas Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Najib Tun Razak dengan tenang berkata beliau kecewa dengan keputusan kehakiman, namun akan terus berusaha membersihkan namanya melalui proses rayuan seterusnya.

Kita mendoakan semoga beliau berjaya dalam proses rayuannya.

Semalam selepas menerima keputusan mahkamah beliau tidak melenting, tidak menyerang sistem kehakiman atau mana-mana pihak lain sebaliknya laksana seorang ‘statesman’ dan ‘gentleman’ beliau menegaskan akan melalui proses undang-undang seterusnya dengan merayu ke Mahkamah Rayuan.

Ini berlainan sama sekali dengan sikap dan pendirian bekas PM Tun Dr Mahathir yang sebelum ini pernah menuduh bahawa kerajaan pimpinan PM Tan Sri Muhyiddin yang kononnya kerana perlukan sokongan Ahli-ahli Parlimen tertentu akan memastikan Najib bebas dari pertuduhan yang dihadapinya di mahkamah.

Kononnya menurut Tun, Muhyiddin akan campurtangan, beliau menulis dalam blognya 13 Jun 2020:

“Sebab itu Muhyiddin akan tentukan enam orang wakil rakyat akan didapati tidak salah. (salah seorang dari 6 yang beliau senaraikan adalah Najib).”

Berdasarkan keputusan mahkamah semalam, ternyata spekulasi dan tuduhan Tun tidak berasas dan satu pembohongan.

Selain itu Tun sendiri semasa PM sentiasa bermusuh dengan pihak kehakiman, ‘Hari Hitam Kehakiman Malaysia’ berlaku semasa beliau PM sehingga terpecatnya Ketua Hakim Negara dan kemudiannya beberapa Hakim Mahkamah Agung ketika itu semuanya kerana Tun tidak berpuas-hati dengan keputusan-keputusan mereka sedangkan mengikut rekod mereka-mereka ini antaranya Tun Salleh Abas, Allahyarham Tan Sri Eusoffe Abdoolcader dan Datuk George Edward Seah merupakan barisan hakim negara yang paling baik dalam sejarah.

Sikap Najib semalam juga jauh berbeza dengan sikap bekas Timbalan PM Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa didapati bersalah oleh beberapa mahkamah sepanjang beberapa tahun atas beberapa kesalahan jenayah termasuk salah guna kuasa dan liwat.

Pada bulan April 1999 setelah didapati bersalah Anwar mempertikaikan kebebasan institusi kehakiman dan mendakwa kerajaan berkonspirasi dengan badan kehakiman.

Beliau mendakwa:

“Saya telah diberikan keputusan yang paling buruk (a judgment that stinks to high heaven). Dan keputusan ini sangat memalukan.”

Pada bulan Februari 2015 pula apabila Mahkamah Persekutuan menolak rayuan beliau Anwar melenting memarahi panel hakim sehingga panel hakim berkenaan keluar dari kamar kerana melihatkan beliau terlalu beremosi.

Anwar mendakwa:

“Anda semua (menuju ke panel hakim) bersekongkol dalam membunuh integriti badan kehakiman. Anda bersekongkol dengan tangan-tangan gelap”

Anehnya semasa PH menjadi kerajaan tiada pun siasatan dilakukan terhadap mana-mana hakim yang Anwar sebelum ini tuduh berkonspirasi terhadap beliau.

Demikianlah bezanya Najib berbanding Tun Dr Mahathir dan Anwar. Semoga Najib diberikan kekuatan untuk menempuh ujian besar ini dan terbit berjaya insya-Allah.

 



Comments
Loading...