Shafie lebih rela bebas dari bersama PH, jadi kenapa paksa, kata Pemuda PKR
(FMT) – Pemuda PKR Sabah membidas dakwaan naib pengerusinya mengkhianati “kerajaan PH Plus” di Sabah, meminta pengkritik jangan memaksa mereka menyokong Presiden Warisan Shafie Apdal yang didakwa “lebih rela berada di blok bebas” daripada bersama Pakatan Harapan.
Ketua Penerangan Razeef Rakimin mendedahkan majoriti akar umbi menyokong tindakan Kenny Chua menarik balik sokongan kepada “kerajaan Warisan”, yang bukan sahaja “tidak menyokong PH malah dengan angkuh menindas PKR”.
“Jika kerajaan Sabah kerajaan PH Plus, Shafie tidak akan menolak Amanah di Sabah sehingga Amanah dilihat seolah mengemis,” katanya dalam kenyataan.
“Hakikatnya Shafie tidak mahu pun Amanah di Sabah.”
Razeef seterusnya mendakwa Shafie bukan sahaja menolak calon perdana menteri dari PKR dan PH, malah beliau tidak ingin bersama gabungan itu.
“Sebenarnya ini keputusan dan permintaan Shafie sendiri bahawa dia lebih rela berada di blok bebas dari bersama PH. Maka kenapa kita perlu dipaksa untuk menyokong Warisan?”
Razeef menjelaskan majoriti akar umbi tidak melihat berlakunya pengkhianatan kerana kerajaan Sabah bukanlah pentadbiran PH, tetapi diketuai Warisan dengan sokongan parti lain.
“Timbul pula cerita khianat terhadap kerajaan PH Plus di Sabah. Mungkin ada yang tidak faham,” katanya.
Chua, yang juga Adun Inanam antara wakil rakyat yang berada pada sidang media Musa Aman semalam, di mana bekas ketua menteri itu mengumumkan beliau peroleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan baru di Sabah.
Musa mendakwa beliau ada akuan berkanun daripada wakil rakyat yang menyokong suatu gabungan baru pimpinannya, terdiri daripada wakil rakyat Umno, PPBM, STAR, PBS, PKR, DAP, Warisan, dan Upko.
Ketua Penerangan PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin kemudian dilapor berkata partinya akan mengambil tindakan terhadap Chua kerana menyokong Musa.