1MDB: Zafrul dedah bekas AG, Tun M cakap tak serupa bikin
(Malaysia Gazette) – Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz hari ini mendedahkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) berhasrat untuk membuat penyelesaian luar mahkamah berhubung hutang 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) kepada Goldman Sachs.
Menurut beliau, terdapat sepucuk surat bertarikh 11 Februari 2020 daripada bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mengatakan bank pelaburan antarabangsa itu bersetuju untuk menaikkan tawaran mereka kepada AS$1.75 bilion.
Jumlah itu menurut surat berkenaan adalah merangkumi cukai sebanyak AS$164 juta dan pulangan fi sebanyak AS$567 juta yang telah diterima oleh Goldman Sachs.
“Ini bercanggah dengan kenyataan beliau yang kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak harus menerima penyelesaian luar mahkamah.
“Jadi untuk menjawab soalan YB Pontian (Datuk Ahmad Maslan), dalam tempoh yang sama, Tan Sri Tommy Thomas masih mencari jalan untuk melakukan penyelesaian luar mahkamah.
“Maka beliau tidak boleh meminta kita untuk melakukan sesuatu yang beliau sendiri mahu lakukan sebelum ini,” katanya semasa sesi penggulungan titah diraja di Dewan Rakyat hari ini.
Terdahulu Ahmad Maslan (BN) mencelah dengan bertanya apakah bekas Peguam Negara dan bekas Perdana Menteri itu menipu selama ini.
Menurut Zafrul, rekod menunjukkan pada 13 Disember 2019, kerajaan telah menawarkan penyelesaian sebanyak AS$4 bilion kepada Goldman Sachs.
Bagaimanapun, tawaran tersebut telah ditolak dengan memberi tawaran semula sebanyak AS$1.5 bilion sahaja.
Untuk rekod, Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan baru-baru ini memaklumkan Goldman Sachs dan kerajaan Malaysia telah mencapai penyelesaian berhubung hutang 1MDB sebanyak AS$3.9 bilion.
Penyelesaian tersebut merangkumi pembayaran tunai sebanyak AS$2.5 bilion oleh Goldman Sachs serta jaminan oleh bank pelaburan itu untuk memulangkan semula aset-aset yang mempunyai hubung kait dengan bon 1MDB bernilai RM1.4 bilion.