Dr Mahathir tubuh parti baru, Mukhriz sebagai pengerusi


Mahathir berkata, beliau sendiri akan memegang jawatan sebagai pengerusi dan presiden akan digalas, Muhkriz.

(FMT) – Bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini mengumumkan penubuhan parti baru selepas keahlian PPBM diterajuinya sebelum ini terbatal.

Mahathir bersama beberapa lagi yang terbatal keahlian mereka menubuhkan parti baru yang belum dinamakan dan menunggu proses Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM).

Beliau yang juga bekas pengerusi PPBM berkata, asas penubuhan parti baru itu mengambil “DNA” asal PPBM sebelum ini, yang lari daripada perjuangan diterajui Muhyiddin Yassin.

“Parti baru ini akan mendokong dasar PPBM ketika ia ditubuhkan iaitu kita akan lawan mereka terlibat rasuah, curi duit, kita lawan mereka. Parti ini juga akan berasas kepada perjuangan untuk orang Melayu dan Pribumi. Ini kerana parti berasas kepada Melayu dan Pribumi yang wujud hari ini telah menggadai maruah bangsa, agama dan hala tuju perjuangan kepada golongan yang gilakan kuasa.

“Di dalam kegilaan mahu kekal berkuasa, perjuangan mereka adalah untuk menjaga kepentingan elit demi memastikan sokongan tidak hilang dan dapat kekal berkuasa.

“Parti ini akan bersifat inklusif dan moderat dan akan memperlihatkan kepada bangsa lain bahawa orang Melayu adalah bangsa tidak khianat, berpegang pada janji dan tidak menolak kerjasama yang ikhlas dan berprinsip,” kata Mahathir pada sidang media di Yayasan Albukhary hari ini.

Mahathir bersama anaknya Mukhriz, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Maszlee Malik, Amiruddin Hamzah, Marzuki Yahya dan Sharuddin Mat Salleh hilang keahlian PPBM selepas mengambil pendekatan tidak menyokong pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) diterajui Muhyiddin.

Mahathir berkata, beliau tidak mempunyai niat menambah jumlah parti Melayu yang boleh menyebabkan perpecahan dalam kalangan orang Melayu namun ia dilakukan kerana terpaksa.

”Bukanlah niat kami untuk menambah kepada bilangan (parti Melayu) yang sudah ada. Tetapi kami menghadapi masalah luar biasa. Parti politik yang kami tubuh, iaitu PPBM dengan tujuan menjatuh kerajaan kleptokrasi Najib Razak telah “dihijack” oleh presiden PPBM.

“Sekarang perjuangan parti yang “dihijack” sudah dialih dari menentang dan menghapuskan kerajaan kleptokrasi kepada bekerjasama dan menghidup semula kerajaan kleptokrasi,” katanya.

Katanya, tindakan presiden PPBM itu bersama parti yang disertai Najib tidak dipersetujui akar umbi, malah kumpulan yang tidak bersama Muhyiddin tidak akan dicalonkan dalam pilihan raya akan darang.

“Bahagian ini tidak akan dicalon oleh bahagian PPBM yang “dihijack” dalam PRU-15. Untuk kami teruskan perjuangan asal kami, terpaksalah kami bebas diri atau menjadi ahli parti yang baru. Adalah diharap ahli biasa yang pilih untuk bersama kami akan menjadi ahli dalam parti baru ini, perjuangan kami berasas semangat, bukan duit,” katanya.

Katanya, parti baru itu juga akan memastikan rakyat daripada kaum lain akan mendapat pembelaan dan layanan sewajarnya.

“Parti ini juga bertujuan untuk menebus kembali maruah bangsa yang terpalit dengan sifat khianat, menipu, membohong, rasuah dan tamak akibat perbuatan pemimpin parti Melayu yang lain. Mereka telah menjadikan agama dan bangsa modal untuk mendapatkan sokongan sedangkan tindak tanduk dan perbuatan mereka melanggar ajaran agama dan bertentangan dengan nilai bangsa.

“Asas perjuangan kami masih dengan menghapus rasuah dan kleptokrasi. Tidak ada jaminan bagi sesiapa untuk jawatan tertentu dalam parti atau dalam kerajaan,” katanya.

Menurutnya, 1 jawatankuasa disiplin akan ditubuhkan untuk menentukan undang-undang dan peraturan dikuatkuasakan.

Mahathir berkata, beliau sendiri akan memegang jawatan sebagai pengerusi dan presiden akan digalas, Muhkriz.

Terdahulu di Mahkamah Tinggi hari ini, Muhyiddin dan 3 lagi berjaya dalam permohonan mereka untuk membatalkan saman difailkan Mahathir dan yang lain berhubung pembatalan keahlian mereka dalam PPBM.

Ia berkaitan saman difailkan Mahathir dan 4 plaintif atas tuduhan pemecatan mereka yang salah sebagai ahli PPBM.

Empat plaintif itu adalah Mukhriz, Marzuki, Maszlee dan Amiruddin.

Hakim Rohani Ismail berkata, plaintif tiada lokus standi untuk memfailkan saman itu atas dasar penyingkiran mereka daripada parti disahkan dalam mesyuarat majlis pimpinan tertinggi (MPT) PPBM pada 4 Jun.

Katanya, Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966 menyatakan sebarang keputusan parti tidak boleh dicabar di mahkamah.

 



Comments
Loading...