DUN Sabah: ‘Surat itu sendiri satu kesalahan’


Surat itu tular di media sosial menimbulkan kerisauan bahawa kesilapan besar berlaku dan ia dibuat tanpa meneliti perundangan.

(Harian Metro) – BEKAS Ketua Menteri Sabah Datuk Yong Teck Lee mendakwa terdapat kesilapan dalam surat memohon pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang ditandatangani oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau yang juga Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) dan bekas peguam berkata, surat itu tular di media sosial menimbulkan kerisauan bahawa kesilapan besar berlaku dan ia dibuat tanpa meneliti perundangan.

“Surat itu pertama kali muncul dalam ciapan akaun Twitter seorang Timbalan Ketua Menteri dan didakwa kononnya menasihati Tuan Yang Terutama (TYT) (Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin) untuk membubarkan DUN.

“Tetapi surat itu menasihati TYT untuk menyetujui pembubaran Dewan seperti yang terkandung dalam Pasal 10 (1) (2) (b) Perlembagaan Sabah, (dan) yang pastinya, tidak ada Artikel 10 (1) (2) (b) yang dimaksudkan.

“Jadi, surat itu sendiri adalah satu kesalahan. Adapun Pasal 10 (2) (b), undang-undang ini memberikan kebijaksanaan kepada TYT untuk tidak membubarkan DUN,” katanya dalam kenyataan di Kota Kinabalu.

Selain itu, beliau menyimpulkan surat berkenaan adalah satu kesilapan besar kerana dihantar kepada Juhar tanpa meneliti peruntukan undang-undang berkaitan terlebih dahulu.

Yong turut mempersoalkan sama ada bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) Datuk Liew Vui Keong terbabit dalam penyediaan surat itu memandangkan beliau adalah peguam Parti Warisan Sabah.

“Persoalan ini timbul kerana Datuk Liew Vui Keong adalah peguam Warisan (Parti Warisan Sabah) yang terus mempertahankan tindakan pembubaran DUN,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan DUN Sabah dibubarkan berkuat kuasa pada 30 Julai lalu dan pembubaran terbabit diumumkan oleh Shafie yang turut berkata ia sudah diperakukan Juhar.



Comments
Loading...