Kerajaan perhalusi cadangan perketat kandungan laman sosial
Kerajaan akan memperhalusi cadangan untuk memperketatkan sebarang kandungan dimuat naik di laman media sosial yang bertentangan dengan ajaran Islam, khususnya membabitkan pandangan golongan liberal dan murtad.
(Berita Harian) – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata pihaknya akan sentiasa memberi kerjasama dengan Kementerian Perpaduan dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung perkara itu.
“Sebahagiannya kami sudah berbincang, tetapi lebih tepat lagi perlu diperhalusi pelbagai isu dan sudut yang lain,” katanya ketika hadir di Majlis Syahadah dan Meraikan Pengislaman Masyarakat Orang Asli di Rancangan Pengumpulan Semula, Kampung Orang Asli Sri Makmur, Ulu Kinta di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas berkenaan isu berkaitan golongan liberal dan murtad yang semakin berani mengeluarkan pendapat bertentangan dengan Islam di laman media sosial.
Zulkifli berkata, justeru pihaknya juga bersedia untuk mengadakan sesi dialog untuk menghuraikan segala kekeliruan tentang ajaran Islam kepada masyarakat.
“Insya Allah kita akan mengemukakan jawapan berkaitan dengan apa-apa kekeliruan tentang Islam untuk kita memberi pencerahan dan penerangan kepada masyarakat.
“Kita bersedia untuk berdialog dan berbincang dengan harmoni supaya masing-masing memahami dan menghormati antara satu sama lain,” katanya.