Raja Bahrin harap RPK tolong desak T’ganu siasat stadium runtuh


(Malaysiakini) – Dituduh sebagai turut terpalit dalam insiden stadium runtuh pada Feb 2013, Senator Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad sebaliknya menggesa Raja Petra Raja Kamarudin (gambar) mendesak kerajaan Terengganu membuka semula siasatan kes tersebut.

Kata Raja Kamarul Bahrin, jika Raja Petra – yang turut dikenali dengan panggilan RPK – berbuat demikian dia sendiri sangat berterima kasih kepada penulis blog berkenaan.

“Kalau Raja Petra boleh mendesak sahabatnya dalam kerajaan PAS Terengganu membuka semula siasatan seperti yang sepatutnya dan tidak melindungi pihak tertentu, saya akan berterima kasih agar rakyat mengetahui siapakah sebenarnya bersalah,” tegasnya dalam kenyataan media hari ini.

Kenyataan tersebut dibuat sebagai menjawab dakwaan yang dilemparkan Raja Petra dalam blognya.

Terdahulu Raja Petra antara lain mendakwa bekas anggota Parlimen Kuala Terengganu itu marah kerana tidak diberikan projek istana baru di Terengganu.

Raja Kamarul Bahrin menegaskan sebelum ini dia antara orang paling lantang meminta agar kes runtuhan bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin itu disiasat dengan mendalam agar pihak yang terbabit menyebabkan insiden runtuh itu dapat dikenal pasti.

“Saya akan menjadi manusia yang paling gembira jika siasatan runtuhan bumbung stadium dapat menentukan siapakah yang bertanggungjawab dan bersalah,” katanya.

Menurut Raja Kamarul Bahrin lagi, dia sendiri sudah berkali-kali merujuk kes berkenaan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sama ada di Putrajaya atau di Terengganu bagi mendesak siasatan sepenuhnya dijalankan.

Ada hubungan erat

“Oleh itu, Raja Petra yang tinggal berbelas ribu kilometer di England sana janganlah membuat tuduhan melulu dan berniat jahat tanpa fakta serta asas.

“Dia terpisah daripada realiti apa yang berlaku di bumi Terengganu dan hidup di England dalam penulisan fantasi dengan membuat tuduhan palsu dan berdosa,” katanya yang juga seorang arkitek.

Tambah Raja Kamarul Bahrin, sekiranya dia bersalah dalam insiden bumbung stadium runtuh, sebagai ahli politik pembangkang sudah lama dia dikenakan tindakan oleh kerajaan atau Lembaga Arkitek Malaysia.

“Apabila PAS memerintah Terengganu dari 1999 hingga 2004 beberapa perunding arkitek dan jurutera – termasuk saya – terpaksa berpindah operasi ke Kuala Lumpur kerana ekonomi negeri yang sunyi.

“Alhamdullilah, antara tahun 2000 dan 2012 saya berjaya mendapat beberapa projek di Putrajaya termasuk Istana Melawati untuk Yang Di-Pertuan Agong, menara Tourism Malaysia, menara Kementerian Pendidikan Malaysia, Hotel Pullman-Hilton dan Pusat Sukan Air Putrajaya.

“Dalam waktu yang sama, saya terpaksa menghabiskan sepenuh masa saya di Putrajaya bagi menyiapkan lima projek utama saya yang berada di bawah pengurusan Presiden Perbadanan Putrajaya sendiri,” jelasnya.

Raja Kamarul Bahrin juga menunjukkan rasa kecewanya melihat tindakan Raja Petra yang dianggap mempunyai hubungan akrab dengan pimpinan atasan PAS namun bertindak tanpa mengikut fakta.

“Malangnya, PAS yang melaungkan kesucian Islam merestui pembohongan berterusan sebegini dan mempunyai hubungan erat dengan Raja Petra,” katanya.

 



Comments
Loading...