Paduan PAS, Umno, BERSATU jamin menangi Perak


(Harakah) – PAS, Umno dan BERSATU di negeri ini mesti melicinkan kerjasama dan memperteguhkannya untuk menjamin kemenangan pada PRU15 nanti, demikian kata Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Muhammad Ismi Taib.

Menurutnya, perkara tersebut akan teruji pada PRK DUN N.58 Slim di mana hubungan tiga parti utama itu serta parti lain yang bersama bukan sahaja mesti menang, tetapi juga mendapatkan majoriti besar.

Jelasnya, pencapaian itu perlu sebagai mengukur perubahan sokongan rakyat dari keputusan lalu dan melihat keputusan semasa untuk menjangka situasi dan dapatan gabungan baru itu di negeri ini pada PRU15 nanti.

“Kita harus akur dan menyedari bahawa rakyat memerlukan keyakinan di mana secara atas kertas masing-masing PAS, Umno dan BERSATU berada dalam kedudukan 50-50 lagi untuk meraih kemenangan di kerusi ditandingi.

“Jadi dari kita berdepan kekaburan dan ketidakpastian, adalah lebih baik kita pastikan kerjasama yang kukuh, di mana ia tentunya meletakkan kita sebelah kaki untuk menang di hampir kebanyakan kerusi dan memerintah,” ujarnya.

Beliau menasihatkan semua pihak untuk tidak memandang enteng kepada Pakatan Harapan yang pasti merencana pelbagai rancangan bukan sahaja untuk mengekalkan kemenangan, tetapi juga menambah lagi kerusi.

Oleh itu tegasnya, langkah awal mengatasi saki baki tenaga Pakatan Harapan yang masih ada mestilah dengan dihadapkan kepada permuafakatan dan perikatan yang disepadukan menjadi kekuatan baharu.

 



Comments
Loading...