Pemuda Amanah cabar menteri agama bentang laporan kewangan TH


(FMT) – Pemuda Amanah mencabar Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) kerajaan (gambar) Perikatan Nasional (PN) membentangkan laporan kewangan Tabung Haji (TH) 2018 dan 2019 pada persidangan Parlimen.

Ketuanya Shazni Munir Mohd Ithnin berkata, cabaran itu dikemukakan bagi membolehkan kerajaan sedia ada membentangkan segala usaha pernah dilakukan bekas menterinya, Mujahid Yusof Rawa untuk memulihkan TH.

Katanya, laporan kewangan beraudit bagi 2018 dan 2019 untuk TH yang seharusnya dibentangkan Mujahid tidak menjadi kenyataan susulan pertukaran kerajaan pada Februari lalu.

“Merujuk kenyataan beliau dalam program berani bersemuka beberapa hari lalu, sebarang proses pengauditan berkaitan telah diselesaikan.

“Justeru, tiada sebarang sebab boleh menghalang kementerian ketika ini untuk membentangkan laporan itu, apatah lagi jika sanggup beralasan bohong dengan mengatakan laporan itu masih belum siap,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shazni berkata, sebagaimana diperuntukkan dalam Seksyen 5, 6, 7, 8 dan 9 Akta Badan Berkanun (Akaun dan Laporan Tahunan) (Akta 240) dan Seksyen 26 Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535), laporan kewangan TH sudah diaudit perlu dibentangkan.

Beliau menegaskan keperluan melaksanakan tanggungjawab undang-undang itu amat penting bagi pengagihan hibah kepada pendeposit TH.

“Ini selaras dengan peruntukan Seksyen 22 (3) Akta Tabung Haji terhadap keperluan memastikan nilai aset melebihi nilai liabiliti tahun berkenaan dan ia boleh dipastikan melalui laporan tahunan telah diaudit dan disahkan oleh ketua Audit Negara.

“Hal ini penting juga untuk menjawab segala persoalan dikemukakan beberapa pimpinan parti kerajaan seperti ketua Pemuda Umno dalam kenyataan beliau pada 22 Julai lalu,” katanya.

Sabtu lalu, Mujahid menegaskan laporan kewangan TH 2018 tidak dapat dibentangkan susulan pertukaran kerajaan pada Februari.

Naib presiden Amanah itu turut menjelaskan sebarang proses pengauditan sudah diselesaikan dan pihaknya sepatutnya membentangkan laporan berkenaan pada Mac lalu.

Terdahulu, bekas pengerusi TH, Abdul Azeez Rahim dilaporkan menyoal tindakan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) yang gagal membentangkan laporan tahunan TH 2018 dan 2019.

Katanya, keperluan dan kewajipan menyediakan laporan tahunan penyata kewangan itu termaktub dalam Seksyen 5 dan 6, Akta Badan berkanun (Akaun dan Laporan Tahunan) 1980 (Akta 240).

 



Comments
Loading...