Calon Ketua Menteri Sabah ‘dirahsiakan’
(HM) – BARISAN Nasional (BN) akan mengemukakan calon Ketua Menterinya jika berjaya membentuk kerajaan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 26 September ini.
Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, fokus kini adalah untuk memastikan PRN Sabah berjalan lancar dengan meletakkan calon di kawasan yang berpotensi menang.
Katanya, perbincangan lanjut akan diadakan bersama parti komponen lain di Sabah sebelum memuktamadkan calon sesuai.
“Parti lain di Sabah juga akan meletakkan calon yang pada hemat mereka boleh memberi sumbangan kepada pembentukan kerajaan negeri. Strategi dan kompromi perlu dalam mendepani usaha ini.
“Pengerusi BN Sabah (Datuk Seri Bung Moktar Radin) akan memuktamadkan perkara ini (calon),” katanya pada sidang media di Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam pada itu, Bung Mokhtar berkata, BN Sabah memerlukan sedikit masa lagi untuk memuktamadkan calon yang bakal mewakili parti untuk PRN itu.
Menurutnya, senarai pendek calon sudah diperoleh, namun ia masih perlu lagi diperhalusi bagi memastikan mereka tersenarai benar-benar calon berupaya menang dan mengekalkan kemenangan.
Ahli Parlimen Kinabatangan itu turut menyatakan kesediaannya untuk bertanding lagi, namun menyerahkan keputusan akhir kepada kepemimpinan pusat.
“Insya-Allah saya akan bertanding jika kawan-kawan (BN Pusat) benarkan,” katanya.
PRN Sabah diadakan selepas kerajaan negeri di bawah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal memohon
pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diluluskan Yang Dipertua Sabah Tun Juhar Mahiruddin.
Kemelut politik negeri di bawah bayu itu berlaku selepas kumpulan yang diketuai bekas Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman mendakwa memiliki sokongan cukup untuk membentuk kerajaan negeri yang baharu.