Pertemuan PAS, Umno, MCA dan MIC Kulai
(Harakah) – PAS Kawasan bersama parti-parti komponen Barisan Nasional dari Umno, MCA dan MIC Bahagian bagi Parlimen Kulai mencipta sejarah apabila pertama kali mengadakan pertemuan rasmi di Hotel Impiana Senai, di sini semalam.
Pertemuan tersebut juga adalah setelah menempuh pengalaman bersama selaku pembangkang selama 22 bulan di bawah pemerintahan Pakatan Harapan, sebelum kukuh membentuk Kerajaan Perikatan Nasional dengan BERSATU.
Majlis juga berlangsung dengan penuh semangat patriotisme dan suntikan cintakan negara apabila disemarakkan dengan nyanyian bersama lagu kebangsaan serta lagu Bangsa Johor.
Keempat-empat pimpinan menyampaikan ucapan terdiri dari Pengerusi MCA Kulai, Shen Poh Kuan dan Pengerusi MIC Kulai, S Suppayah serta Yang DiPertua PAS Kulai, Abd Aziz Jaafar dan Ketua Umno Kulai, Dato’ Zainal Abidin Jidin.
Perjumpaan tersebut menyerlahkan kekuatan bersama gabungan parti-parti ini yang bertekad dan bersedia menghadapi pilihan raya di mana dijangka berlaku pada bila-bila masa daripada sekarang.
“Banyakkan bersabar dan bertawakal kepada Allah disamping memelihara ukhuwah sesama kita. Inilah masa kita buktikan kepada rakyat bahawa kita lebih baik daripada Kerajaan PH yang lalu.
“Kalau kita dapat menghadapi PRU15 dengan kita menjaga tiga tonggak kekuatan iaitu muafakat yang kukuh, berada di posisi sebagai kerajaan dan dilihat lebih baik di mata rakyat berbanding PH, insyaAllah kemenangan besar berpihak kepada kita,” ujar Abd Aziz.