Saya dengan ini mengesahkan bahawa Rundingan Terus tersebut telah dijalankan oleh Lim Guan Eng sendiri


Semalam saya telah memaklumkan bahawa saya akan menyiasat tuduhan daripada pihak pembangkang Pakatan Harapan berkenaan dua projek yang dianugerahkan secara Rundingan Terus oleh KPKT.

Seperti yang dijanjikan, siasatan telah dijalankan dan kini saya umumkan penemuannya. Projek yang dimaksudkan ialah Projek Sisa Pepejal Taman Beringin (bernilai RM170,294,400.00) dan Sistem Perisian Perakaunan Century (bernilai RM501,206.37).

Saya dengan ini mengesahkan bahawa Rundingan Terus tersebut telah dijalankan oleh mantan Menteri Kewangan sendiri, YB Lim Guan Eng.

Ini bertentangan sama sekali dengan permainan fakta yang cuba diputarbelitkan oleh pihak pembangkang Pakatan Harapan yang menuduh bahawa Rundingan Terus projek sisa pepejal Taman Beringin dimulakan oleh kementerian saya.

Penasihat Syarikat Bumi Segar Indah, Tamrin Tun Ghaffar, yang merupakan penyokong tegar Pakatan Harapan telah mewakili syarikat tersebut bertemu dengan Mantan Menteri Kewangan pada 28 November 2018. Pada pertemuan inilah Lim Guan Eng, bukan sahaja membincangkan tentang rundingan semula projek ini malah bersetuju untuk mengurangkan kos tipping fee 10% lebih rendah daripada kos asal, kononnya sebagai penjimatan untuk kerajaan.

YB Lim Guan Eng kemudian menasihatkan Bumi Segar Indah untuk menghubungi KPKT bagi membentangkan kertas cadangan formal. Seterusnya, projek tersebut diluluskan oleh Kementerian Kewangan di bawah YB Lim Guan Eng dengan surat bertarikh 20 Februari 2019 dari Kementerian Kewangan kepada Ketua Setiausaha KPKT.

Begitu juga projek perisian Century yang turut melibatkan 5 Kementerian lain, turut diluluskan Kementerian Kewangan.
Saya berharap, pada masa hadapan pemimpin Pakatan Harapan dapat membuat sedikit penyelidikan tentang fakta sebelum mengelirukan orang awam.

Hajah Zuraida Kamaruddin
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan

 



Comments
Loading...