Slim sahkan kekuatan luar biasa MN
ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY
TOPIK paling ‘top’ di media arus perdana dan sosial hari ini sudah pastilah kemenangan besar calon BN di PRK DUN Slim.
Menang dengan majoriti luar biasa 10,495 undi (PRU14 lalu BN menang majoriti 2,183) menewaskan calon Bebas yang mewakili blok Tun Dr Mahathir dan PH serta seorang lagi calon Bebas bukanlah sesuatu yang biasa-biasa. Apakah mesej atau isyarat dari kemenangan ini?
Tun Dr Mahathir dan PH ditolak rakyat, sudah pasti, malah kemenangan BN di kesemua 13 PDM termasuk yang majoriti Cina dan India menandakan Tun Dr Mahathir dan kelompok pembangkangnya sudah hilang ‘grip’ tidak lagi boleh anggap pengundi bukan-Melayu sebagai aset tetap mereka.
Penolakan luar biasa terhadap calon-calon Bebas bukan bermakna Tun Dr Mahathir dan parti barunya Pejuang sahaja ditolak, malah PAN dan DAP yang turut turun mempromosi dan membantu juga tiada lagi mampu membantu malah membawa malapetaka buat masa depan blok pembangkang.
Apa pun yang paling menarik adalah ulasan seorang wartawan akhbar The Sunday Star Ivan Loh, kata beliau:
“Gabungan kekuatan (the combined might) Muafakat Nasional (MN) telah sekali lagi membuktikan ianya terlalu kuat buat Pakatan Harapan (PH) dan pembangkang”.
Beliau memberi bukti siri-siri kemenangan gabungan ditunjangi PAS dan Umno ini sejak PRK Cameron Highlands dan kini di Slim.
Lalu beliau membuat kesimpulan bahawa kemenangan di Slim ini mengesahkan bahawa Muafakat Nasional adalah pilihan masyarakat Melayu luar bandar.
Sesungguhnya kemenangan di Slim ini menandakan bahawa MN sudah cukup bersedia menjuarai politik baru di tanah air bukan sahaja di luar bandar malah seluruh negara.
Kombinasi jentera PAS dan Umno yang menjalar ke semua peringkat akar umbi mampu mengikis dan menerjang apa sahaja rintangan politik di hadapan.
Dengan pencapaian ini tidak syak lagi MN sedia memayungi mana-mana pihak yang ingin berpayung di bawahnya dengan syarat terimalah hakikat bahawa pelopor politik baru ini adalah PAS dan Umno lantas berilah keduanya penghormatan yang sewajarnya.