Mencari titik persamaan memerangi Covid-19
Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Sinar Harian
SEKITAR dua bulan lepas, saya menulis tentang pentingnya mengimbangi antara matlamat melindungi nyawa dan memelihara sara hidup rakyat dalam usaha kita menangani pandemik global Covid-19.
Dalam menghadapi wabak global yang hingga kini masih belum nampak penghujungnya, pendirian kerajaan cukup jelas – melindungi nyawa rakyat adalah keutamaan yang mengatasi segala-segalanya.
Nukilan saya itu seterusnya menyebut bagaimana kerajaan telah bertindak pantas dengan melaksanakan dasar-dasar yang bertujuan untuk melindungi nyawa rakyat kita di samping memberi penekanan kepada survival (kelangsungan) ekonomi rakyat pada hari-hari mendatang.
Baru-baru ini, sebuah kajian di University Oxford mendapati perintah kawalan pergerakan Malaysia merupakan antara yang terketat di dunia. Ini adalah pengiktirafan betapa kita telah membendung penularan wabak ini dengan cekap.
Kita akui, tindakan pengawalan yang ketat itu turut meninggalkan kesan pada pertumbuhan ekonomi negara. Impaknya amat ketara bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada Suku Kedua 2020, di mana kita mengalami penguncupan ekonomi sebanyak 17.1 peratus.
Saya masih ingat suasana ketidaktentuan yang menyelubungi kita pada bulan Mac lalu.
Tanpa sebarang vaksin berkesan, masyarakat sedunia masih tidak dapat menjangkakan titik penghujung kepada ancaman Covid-19 ini.
Makanya, langkah kerajaan memperkenalkan pakej stimulus ekonomi Program Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin), Prihatin PKS Tambahan dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) adalah bertujuan untuk memastikan rakyat Malaysia dan ekonomi kita mendapat perlindungan dan sokongan sewajarnya ketika mengharungi cabaran luar biasa ini.
Kini, genap 10 minggu sejak nukilan saya diterbitkan dan dalam tempoh itu, sejumlah RM295 billion pakej rangsangan selesai dibentang dan dibahas dalam Dewan Rakyat.
Alhamdulillah, hasil daripada inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan, kita mula melihat bibit-bibit awal kesan positif untuk negara. Pada bulan Julai, kita dapat melihat antara lain pemulihan kepada angka jumlah eksport, kadar pengangguran, Indeks Pembuatan Industri dan lain-lain indikator ekonomi.
Malah, hasil KDNK Suku Kedua, jika dianalisis dari bulan ke bulan, peningkatan daripada -28.6 peratus pada bulan April ke -3.2 peratus pada bulan Jun membayangkan penumbuhan yang lebih baik pada bulan-bulan akan datang, insya-ALLAH.
Detik bersejarah
Sebagai Menteri Kewangan, pengalaman pertama saya pada sesi Dewan Rakyat baru-baru ini satu episod yang tidak akan saya lupakan.
Seperti orang lain, saya dahulu sering mengikuti debat yang berlangsung sewaktu persidangan Dewan Rakyat.
Saya kagum melihat kesungguhan dan kepetahan ahli-ahli Parlimen kita berdebat – ada kalanya tegang bertikam lidah, ada kalanya berselang gurau dan sindiran.
Tetapi tidak dinafikan masing-masing gigih mempertahankan idea dan pendirian demi kesejahteraan rakyat.
Saya akui teruja diberi peluang untuk bukan sahaja berada di barisan depan Dewan Rakyat yang mulia, tetapi juga terlibat menjawab soalan yang diutarakan dan pastinya, penghormatan membentangkan sebuah Rang Undang-undang (RUU) kepada ahli-ahli Dewan Rakyat.
Saya kira, ia adalah pengalaman yang bermakna bagi mana-mana rakyat Malaysia untuk berada di Dewan Rakyat dan melibatkan diri dalam proses demokrasi yang menjadi tunjang negara kita.
Pada tanggal 24 Ogos 2020 lalu, ahli-ahli Parlimen di Dewan Rakyat telah sebulat suara, merentas parti dan ideologi, bersetuju meluluskan pakej rangsangan RM45 bilion untuk memerangi Covid-19.
Sebagai seorang ahli Dewan Negara yang dilantik, saya tidak mempunyai hak untuk mengundi dan menyumbang kepada kelulusan sebarang RUU.
Keputusan sebulat suara itu membuat saya dan pasukan Kementerian Kewangan yang sudah berbulan-bulan bertungkus-lumus memperkenalkan RUU itu, akhirnya dapat melepaskan nafas panjang penuh kelegaan berserta kesyukuran.
Apa yang jelas adalah sokongan kepada RUU itu membuktikan bahawa ahli Parlimen kita mampu merentasi jurang perbezaan politik untuk menzahirkan yang terbaik untuk rakyat.
Terdapat banyak suara yang meminta agar peruntukan RM45 bilion itu digandakan. Pada prinsipnya, saya turut setuju, tetapi sebarang penggandaan pakej perlu pertimbangan yang sangat rapi.
Bukan nilai sahaja yang menentukan keberkesanan sesuatu pakej stimulus, tetapi perincian inisiatif, sasaran rangsangan dan disiplin fiskal semuanya memainkan peranan.
Mana-mana negara sekali pun akan memiliki sumber dan keupayaan yang terhad. Dalam memerangi Covid-19, strategi yang kita harus pilih bukanlah pecutan tetapi ketahanan.
Jika kita memilih langkah untuk menambah suntikan terlalu awal, ia mungkin memberikan impak kepada kemampuan kita untuk memberi peruntukan pada masa hadapan yang masih belum menampakkan cabarannya.
Ketahanan rakyat dan ekonomi adalah penentu kita dapat meneruskan pelayaran negara ke arah kemakmuran bersama.
Kerajaan akan terus memantau pelaksanaan pakej stimulus ekonomi yang sedia ada dan melihat keberkesanannya merentasi sektor ekonomi dan lapisan masyarakat.
Jika penanda aras yang kita awasi memberikan isyarat untuk kerajaan segera bertindak, pastinya kita bersedia dan masih memiliki ruang fiskal serta kemampuan untuk bertindak segera.
Masa hadapan
Dunia masih menanti penghujung kepada ancaman Covid-19. Malaysia, sama seperti negara lain sedang bertungkus lumus memastikan kadar jangkitan kekal rendah di samping memastikan kedudukan ekonomi yang mampu menampung keperluan rakyat dan memelihara impian kita menjadi negara yang maju.
Dalam cabaran maraton mahupun Iron Man, ketahanan yang diperlukan bukanlah setakat fizikal, tetapi ketahanan mental amat penting untuk memastikan kita sampai ke garisan penamat.
Analogi itu wajar kita jadikan teladan, lebih lagi dalam babak seterusnya.
Untuk selamat mengharungi krisis besar seperti Covid-19, sesebuah negara memerlukan beberapa perkara, khasnya ketahanan sumber dan juga kegigihan bangsanya.
Negara kita sudah melalui pelbagai dugaan sejak kemerdekaan dan kita telah membuktikan kita mampu mengatasi sebarang halangan berkat kebijaksanaan dan ketahanan diri rakyat kita.
Bagaimanapun, sebarang kejayaan tidak mungkin kita kecapi tanpa sesuatu yang lebih bererti iaitu kemuafakatan.
Hari ini negara tercinta kita menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-63. Tarikh keramat itu akan terbuku rapi dalam sejarah negara kerana pada tarikh ini rakyat Malaysia meraikannya dengan mengetepikan perbezaan, mencari titik persamaan untuk mencapai kemerdekaan buat semua rakyat Malaysia.
Kepada semua wakil-wakil yang dipilih oleh rakyat, anggota barisan hadapan kita dan rakyat di negara kita yang telah bersama menyumbang kepada proses pemulihan negara, terima kasih kerana sekali lagi membuktikan bahawa pada saat negara diuji dengan cabaran yang begitu berat, kita sekali lagi mampu untuk mengetepikan perbezaan dan mencari titik persamaan demi memastikan kesejahteraan nusa dan bangsa terjamin.
Selamat Menyambut Hari Merdeka yang ke-63 dengan semangat kesepakatan dan jiwa muafakat, moga terus membawa berkat kepada rakyat.
* Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ialah Menteri Kewangan