Annuar hanya pertahankan Muafakat Ummah – Budiman
(Malaysia Gazette) – Semua jawapan dan ulasan politik dari Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa adalah selari dengan pedoman Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Majlis Tertinggi (MT) UMNO.
Setiausaha Politik Annuar, Budiman Mohd Zohdi ketika menjelaskan perkara itu berkata, kedudukan Annuar atas jawatan yang dipertanggungjawabkan menyebabkan beliau merupakan pihak berautoriti untuk menjawab dan mengulas isu berbangkit berkaitan BN dan Muafakat Nasional (MN).
Katanya, kebelakangan ini wujud keresahan dalam kalangan ahli parti berkaitan kenyataan yang dibuat oleh Annuar selaku Setiausaha Agung BN dan Setiausaha Agung bersama MN.
“Jawapan dan ulasan itu dibuat bukan atas kapasiti peribadi, sebaliknya untuk mempertahankan mandat akar umbi yang diberikan kepada pimpinan dalam Perhimpunan Agung UMNO melalui ucapan dasar Presiden UMNO bertajuk, Muafakat Nasional Pemacu Politik Malaysia pada 6 Disember 2019 yang diterima sebulat suara dari perwakilan yang hadir.
“Memetik bait Presiden, “UMNO perlukan Politik Berimbang bagi menghadapi politik huyung-hayang dan politik songsang. UMNO bukan parti yang “rigid, rasis atau terlalu longgar dan liberal”, “La ifrot wa la Tafrit”.
“Kita perlu mengubah UMNO kepada budaya politik berimbang berasaskan prinsip perjuangan, keterbukaan dan perundingan selagi asas Perlembagaan dan kontrak sosial tidak dicabuli”,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Budiman cuba memperbetulkan persepsi kurang baik dalam kalangan pemimpin dan ahli akar umbi terhadap Annuar, yang dilihat kurang dengan dengan jawapan dan ulasan Ketua UMNO Bahagian Ketereh itu, seolah memihak kepada pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Menurut bekas Ahli Parlimen Sungai Besar itu, impak kewujudan MN iaitu kerjasama politik antara UMNO dan Pas menyebabkan BN menang tujuh kali Pilihan Raya Kecil (PRK) yang diadakan termasuk lima kali sebagai pembangkang.
Katanya, dengan dasar politik berimbang, UMNO juga berjaya menjadi kerajaan melalui kerjasama Ahli-Ahli Parlimen UMNO, BN, Pas, GPS dan Bersatu dalam PN.
“Strategi MN ini sudah tentu menakutkan pembangkang dan mereka yang benci dengan perpaduan ummah serta berusaha untuk mencari jalan supaya gabungan politik sebegini tidak menjadi kenyataan pada PRU15.
“Seperti wujud gerakan terancang untuk memanipulasi pandangan dan ucapan pemimpin tertinggi UMNO, BN dan MN dan Annuar salah seorang yang menjadi sasaran serangan,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, pemimpin dan ahli UMNO di peringkat akar umbi diminta memberikan kepercayaan kepada pemimpin tertinggi parti, BN dan MN untuk merancang agenda memenangkan parti.
Pada masa sama, katanya, Annuar seorang yang cukup cermat meraikan pandangan akar umbi supaya wujud semak dan imbang dalam setiap rancangan parti.
Kata beliau, setiap pandangan yang munasabah diteliti dan diambil perhatian sewajarnya dan Annuar percaya riuh rendah (dengan pandangan) adalah sifat utama dalam demokrasi yang matang.
“Apa yang penting adalah Muafakat Ummah untuk PRU15 perlu dijayakan dengan strategi yang berubah-ubah, tetapi objektif dan matlamat kekal selamanya,” katanya.