Parti belia, usah cetus banyak perpecahan- Rafidah
“Tidak kira berapa banyak ijazah yang anda ada, pengalaman lebih penting. Saya mendapat pengalaman daripada mereka yang membina negara ini, bukan memusnahkannya”
(SuaraTV) – Veteran politik, Tan Sri Rafidah Aziz berpendapat cadangan menubuhkan parti belia akan mencetuskan lebih banyak pecah-belah dalam negara ini.
Katanya, sudah cukup pecah-belah yang berlaku dan tiba-tiba “semua orang berkata, anda seorang wanita, atau seorang lelaki, Melayu, Cina, Kristian, Islam, Buddha atau Hindu”.
“Anda tahu ia memecah-belahkan kita? Sudah berlaku pecah-belah, sekarang ia adalah ‘anda sudah tua, anda masih muda… adakah masih tidak cukup lagi pecah-belah yang berlaku di negara ini?” katanya mengulas kenyataan bekas Ketua Armada Bersatu Syed Saddiq Abdul Rahman yang mengumumkan beliau akan menubuhkan parti baharu yang diterajui belia.
Rafidah berkata demikian apabila ditanya sama ada parti yang diasaskan Syed Saddiq baik untuk negara, bagaimanapun katanya, “anda tidak sepatutnya memulakan lebih banyak pecah-belah.
Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata demikian dalam Dialog Kepimpinan: Hala Tuju Malaysia pada Forum Pencegahan Rasuah Malaysia.
Beliau turut berkongsi pengalamannya sebagai Senator paling muda pada usia 30 tahun dengan proses pembelajaran beliau dalam dunia politik adalah daripada kalangan mereka yang berpengalaman dalam politik.
“Tidak kira berapa banyak ijazah yang anda ada, pengalaman lebih penting. Saya mendapat pengalaman daripada mereka yang membina negara ini, bukan memusnahkannya,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Rafidah berkata, pemutus rantaian rasuah nasional diperlukan untuk menghentikan amalan rasuah daripada menjadi kebiasaan.
Pemutus rantaian adalah gabungan pelbagai faktor termasuk pemahaman yang luas mengenai rasuah dan proses pendidikan, menjalin budaya antirasuah serta menghukum mereka yang terlibat dalam rasuah, katanya.
“Jika semua ini ada, ia akan memperlahankannya dalam waktu yang lebih singkat dan menjadi luar kebiasaan, bermakna jarang sekali berlaku, bukan budaya.
“Kebimbangan utama kita seharusnya, setelah menjadi budaya, norma di mana semua orang melakukan dan memperakuinya,” katanya.
Rafidah berkata memerangi rasuah perlu menjadi usaha kolektif yang melibatkan semua orang kerana ancaman itu telah meluas.
“Membasmi rasuah perlu ada kefahaman tentang apa yang betul dan salah. Contoh ada yang kata selagi belum ditangkap polis maka curi itu tidak salah. Itu tidak betul.
“Macam rasuah, kalau dah ambil rasuah dalam apa bentuk apa pun, dalam undang-undang rasuah itu salah. Menerima salah, memberi salah tapi tidak kena tangkap,” katanya.
Bagi mendidik orang ramai, beliau berkata rasuah mesti dianggap sebagai suatu perbuatan jijik, memalukan, tidak dapat dimaafkan, berdosa dan mesti ditolak.
“Kalau ada kefahaman itu, saya rasa lebih mudah kita banteras (rasuah) kerana anak muda, anak cucu kita faham bila dia besar akan ingat usaha hendak didahulukan bukan menerima wang dengan cara mudah. Ini semua soal nilai,” katanya.