DAP, MCA cuba buktikan negara mana laksana vernakular!


(IsmaWeb) – Biar pun Malaysia sudah 63 tahun mencapai kemerdekaan, namun usaha mewujudkan sistem pendidikan satu aliran masih gagal dicapai.

Bukan sahaja ia sukar untuk dihapuskan secara berperingkat, bahkan kerajaan juga seolah-olah ‘tunduk’ dengan pelbagai tuntutan daripada pejuang vernakular sehingga bilangannya semakin bertambah dan kewujudannya seperti diperkasakan.

Gerakan Pengundi Sedar (GPS) mendakwa, kaum Cina di negara ini terlalu berlebihan menuntut perkara yang bukan hak mereka di dalam Perlembagaan.

“Kemudian dimomokkan kepada dunia luar bahawa Malaysia adalah negara rasis dan tidak bertoleransi.

“Cuba tanya DAP dan MCA, namakan lima negara mana yang membenarkan sekolah vernakular Cina dibangunkan selain Malaysia,” katanya GPS dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Sebelum ini, beberapa pihak termasuk Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) dan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) memfailkan saman berkaitan keabsahan sekolah vernakular.

Selain itu, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia juga memfailkan writ saman bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa kewujudan sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil adalah bercanggah Perlembagaan Persekutuan.

Sehingga kini, kerajaan menerusi Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin belum mengeluarkan sebarang kenyataan terhadap desakan menghapuskan sekolah vernakular.

Bagaimanapun, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Sadiquee bulan lalu memberi jaminan bahawa kerajaan tidak akan memansuhkan sekolah vernakular, kononnya demi mewujudkan perpaduan dalam masyarakat.

 



Comments
Loading...