Rakyat Dah Tak Percaya Mahathir, Populariti Merudum Teruk – Husam Musa


(Suara TV) – Bekas Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Husam Musa berkata, populariti Tun Dr Mahathir Mohamad kini sedang merudum teruk dan tidak lagi mendapat kepercayaan rakyat.

Atas sebab itu kata Husam, Pakatan Harapan (PH) tidak sewajarnya memberi peluang kepada parti Pejuang yang diasaskan bekas Perdana Menteri ke-7 itu untuk bertanding di kerusi yang diperuntukkan kepada Bersatu sebelum ini.

“Peralihan kerajaan dan kenyataan beliau selepas itu menyebabkan kedudukannya di mata sebahagian besar rakyat teruk dan merudum.

“Bila Tun (Mahathir) hilang kepercayaan (rakyat), sekiranya masih memimpin Pejuang dan mengambil kerusi yang ditinggalkan Bersatu, ini akan merugikan rakyat yang mahukan kejayaan menumbangkan kerajaan yang ikut cara ‘tebuk atap’.

“Kalau berikan kerusi kepada Pejuang, ini juga akan menggagalkan hasrat kita untuk mengambil alih kuasa,” katanya, dipetik dari laporan Sinar Harian.

Justeru kata Husam, beliau mencadangkan supaya Amanah dan rakan sekutu PH melakukan agihan semula kerusi yang dipertandingkan PH terutama yang ditandingi Bersatu.

“13 kerusi ini diserahkan kepada Bersatu sebelum ini. Begitu juga 10 kerusi yang ditinggalkan YB Azmin Ali dan rakan-rakan. Sebahagian besar kerusi ini akan dimenangi PH.

“Jika diberi peluang Amanah (bertanding), peluang untuk menang cerah. Dengan itu Amanah boleh menambah kerusi di peringkat Parlimen pada masa akan datang,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, penganalisis politik Dr. Kamarul Zaman Yusof mendedahkan, sebelum PRU14 yang lalu, Husam merupakan orang yang terawal mencadangkan nama Mahathir sebagai Perdana Menteri.

“Memang ada laporan berita bertarikh 21 Mei 2017 bertajuk, Husam cadang Mahathir calon PM, yang memuatkan rayuannya supaya rakan dalam PH menerima Mahathir sebagai calon perdana menteri jika PH menang PRU-14.

“Sebab itu, apabila Husam kini menyebut ‘kedudukan Mahathir di mata sebahagian besar rakyat adalah kehilangan kepercayaan yang teruk, yang merudum, dipanggil sebagai lost of trust ataupun kehilangan kepercayaan, maka impaknya adalah besar,” kata Dr Kamarul.

 



Comments
Loading...