Kit Siang mahu Hamzah Zainudin di pecat
(Borneo Today) – Menteri Dalam Negeri harus dipecat sekiranya kenyataannya berkaitan pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah adalah benar.
Datuk Seri Hamzah Zainudin sebelum ini dikatakan mengugut untuk tidak mengambil tindakan terhadap PATI di Sabah sekiranya Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Joniston Bangkuai tidak dipilih semula di Kiulu.
Penasihat Parti Tindakan Demokratik (DAP) Lim Kit Siang berkata demikian dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, untuk berlaku adil kepada Hamzah, beliau patut diberikan peluang untuk memberikan penjelasan mengenai isu ini.
“Tetapi persoalan yang lebih utama adalah, sama ada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berani untuk memecat Hamzah yang juga merupakan Setiausaha Agung BERSATU, memandangkan kerapuhan jawatan Perdana Menteri ketika ini.
“Muhyiddin akan hilang jawatan Perdana Menterinya jika beliau memecat Hamzah kerana ini menunjukkan betapa lemahnya Muhyiddin sebagai seorang Perdana Menteri,” ujarnya.
Beliau berkata, perkara ini amat jelas kerana penyalahgunaan kuasa oleh Hamzah sebagai Menteri Dalam Negeri ini adalah untuk memujuk PBS supaya menarik semula beberapa calon mereka daripada bertanding.
Keadaan itu pastinya memberi kelebihan kepada Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Dr Jeffrey Kitingan untuk mengurangkan perbalahan dalaman di dalam gabungan Perikatan Nasional (PN)-Barisan Nasional (BN)-PBS.