Warisan hadapi masalah gara-gara kesilapan calon sendiri


(Malaysiakini) – Parti Warisan nampaknya terpaksa menanggung kesan daripada kenyataan kontroversi salah seorang pemimpinnya, Mohamaddin Ketapi, apabila video dia didakwa menghina anggota polis dan tentera tular sehari sebelum pengundian awal hari ini.

Bekas menteri pelancongan, seni dan budaya itu penah juga pernah mengeluarkan beberapa kenyataan kontoversi seperti mendakwa golongan gay tiada di Malaysia dan menggelarkan dirinya sebagai orang miskin berikutan pengisytiharan harta yang diwajibkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

Dalam PRN kali ini Mohamaddin dicalonkan partinya – Warisan – untuk kerusi DUN Segama. Dia yang juga ahli parlimen Silam mendakwa pencerobohan Lahad Datu di Sabah pada 2013 sebagai suatu “sandiwara”.

Untuk rekod, Operasi Daulat dilancarkan kerajaan Malaysia pada Mac 2013 membabitkan polis dan tentera susulan pencerobohan kumpulan yang menggelar diri mereka Tentera Diraja Sulu.

Kumpulan itu menuntut Sabah sebagai wilayah mereka.

Ia berterusan selama kira-kira sebulan. Sejumlah 10 anggota keselamatan terkorban manakala sekurang-kurangnya 68 anggota pengganas Sulu mati.

Berdasarkan video yang tular itu, Mohamaddin berucap semasa kempen baru-baru ini dan berkata, situasi itu dikatakan berlaku apabila kononnya Umno akan kalah kepada PKR.

Menurutnya, ketika itu ketegangan telah mencetuskan “perang” dan ramai orang mati disebabkan kejadian berkenaan.

Peluang pihak lawan menyerang

Susulan itu, dia dihujani kecaman kerana disifatkan menghina anggota keselamatan yang terkorban dalam operasi itu.

Pengundian awal berlangsung hari ini menyaksikan 16,877 pengundi yang terdiri daripada 7,487 anggota tentera dan 9,390 anggota polis serta pasangan mereka di seluruh Sabah.

Selepas insiden dicetuskan Mohamaddin itu, Warisan mempunyai baki empat hari lagi untuk membaiki ‘kerosakan’ yang ada, sebelum 1.1 juta pengundi membuang undi pada Sabtu ini.

Meskipun bilangan undi dalam kalangan anggota polis dan tentera lebih kecil berbanding jumlah undi keseluruhan, konflik tersebut mampu memberi impak yang serius terhadap kawasan pantai timur di Sabah, iaitu kawasan kubu kuat Warisan.

Ini membawa kepada kewujudan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) dan perintah larangan ke laut pada waktu tertentu yang berkuat kuasa sehingga hari ini.

Mohamaddin sudah memohon maaf atas kenyataannya itu dan mendakwa ia disalah tafsir.

Namun, pihak lawan Warisan mengambil peluang tersebut dengan mengecam tindakan Mohamaddin.

Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal ketika diminta mengulas isu itu berkata, dia akan meminta penjelasan Mohamaddin dan menegaskan calon terbabit sudah memohon maaf atas keterlanjurannya itu.

Sehingga semalam, pihak lawan Warisan – Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang terdiri daripada BN, Perikatan Nasional (PN) dan PBS – berusaha sedaya-upaya untuk mendahului dalam kempen ketika hari mengundi semakin hampir.

Mereka kemudian menggunakan sentimen antimigran dengan melabelkan Warisan sebagai “parti pendatang tanpa dokumen”.

Strategi tersebut mempunyai elemen kaum dan agama kerana mesej yang ingin disampaikan ditujukan khas kepada kumpulan besar di kawasan golongan bumiputera bukan Islam yang mempunyai perasaan tidak puas hati terhadap kebanjiran pelarian beragama Islam dan pendatang tanpa izin yang lain dari Filipina.

Kontroversi itu juga membimbangkan rakan kongsi Warisan – terutama DAP dan Amanah – yang bertanding menggunakan logo parti berkenaan.

 



Comments
Loading...