Jika saya menang, Anwar mungkin hilang kerusi PD – Mohd Khairul


(Malaysia Gazette) – Kalau Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri sekali pun, tempohnya tidak lama kerana beliau akan berdepan dengan keputusan mahkamah berhubung kes Lembaga Pengampunan.

Itu dinyatakan peguam, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz yang memfailkan saman terhadap Lembaga Pengampunan dan Presiden PKR itu bagi mencabar nasihat yang diberikan kepada Yang di-Pertuan Agong oleh pihak lembaga berkenaan pada 16 Mei 2018.

Menurutnya, sungguh pun Anwar tidak akan kembali ke penjara sekiranya kalah dalam kes itu tetapi beliau kemungkinan hilang kerusi Parlimen Port Dickson yang disandangnya.

“Apa akan jadi jika saya menang dalam saman terhadap Lembaga Pengampunan dan Anwar Ibrahim ini? Adakah Anwar akan masuk penjara kembali (semula)? Jawapannya, tidak.

“Tetapi, Anwar akan hilang kerusi Parlimen Port Dickson secara serta merta dan beliau tidak dapat bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang. Itu sahaja,” katanya menerusi hantaran Facebooknya hari ini.

Anwar diberi pengampunan penuh oleh Yang di-Pertuan Agong pada 15 Mei 2018 selepas dijanjikan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad yang membentuk kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) selepas menang PRU- 14.

Anwar yang ketika itu berada di Hospital Rehabilitasi Cheras dibebaskan selepas menjalani hukuman penjara selama 1,557 hari atas sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya.

Bagaimanapun, Mohd Khairul Azam mendakwa pengampunan penuh itu bercanggah dengan Perkara 42(4) dan (5) Perlembagaan Persekutuan berikutan kuasa pengampunan hendaklah dilaksanakan dengan nasihat oleh Lembaga Pengampunan.

Dakwanya, Lembaga Pengampunan belum dibentuk dengan sempurna selepas pembentukan kerajaan baharu PH dan adalah mustahil bagi Lembaga Pengampunan dapat bersidang memberikan nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi memberikan pengampunan kepada Anwar.

Oleh itu, plaintif antara lain memohon pengisytiharan bahawa Lembaga Pengampunan ditubuhkan secara tidak sah di sisi Perlembagaan Persekutuan bagi tujuan bersidang dan seterusnya menasihati Yang di-Pertuan Agong berkenaan rayuan pengampunan Anwar, menyebabkan nasihat diberikan tidak sah dan terbatal.

Namun, pada 21 September lalu, Anwar dan Lembaga Pengampunan gagal membatalkan saman dikemukakan Mohd Khairul Azam yang mencabar kesahan pengampunan penuh diberikan kepadanya, dua tahun lalu.

Hakim, Datuk Akhtar Tahir membuat keputusan itu selepas mendapati Mohd Khairul Azam sebagai seorang awam dan peguam, mempunyai hak di sisi undang-undang atau locus standi untuk memfailkan saman berkenaan.

 



Comments
Loading...