Sokong Anwar, Hamzah Agak Ahmad Zahid Ditekan
(Suara TV) – Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin beranggapan kenyataan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkenaan sokongan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim ditekan pihak tertentu.
Hamzah bagaimanapun enggan membuat sebarang spekluasi berhubung kenyataan media Presiden UMNO tersebut sejurus Anwar mengumumkan sudah mendapat sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan baru.
Menurut laporan Malaysiakini, Hamzah berkata, ada beberapa kemungkinan yang mendorong Ahmad Zahid mengeluarkan kenyataan sedemikian.
“Kenyataan dia boleh jadi tricky (berlapis) kerana mungkin ada seorang dua yang tekan dia untuk beritahu mereka bersama Anwar… kita tak tahu,” katanya.
Ahli Parlimen Larut itu turut menegaskan jumlah sokongan yang dimiliki Presiden PKR itu juga tidak diketahui.
Namun katanya, perkara yang paling penting, ialah, orang yang ada dalam senarai tular sekarang sudah membuat penafian.
“Yang tidak membuat penafian… mungkin, saya tak tahu,” katanya.
Dua hari lalu, Anwar mengumumkan beliau mendapat sokongan majoriti kukuh untuk membentuk kerajaan baru selepas Pakatan Harapan (PH) dijatuhkan melalui ‘Langkah Sheraton’ akhir Februari lalu.
Tidak lama kemudian Ahmad Zahid mengeluarkan kenyataan memberitahu beliau dimaklumkan ada beberapa ahli parlimen memang menyokong Anwar dan UMNO tidak dapat menghalang mereka.
Kenyataan itu sekali gus menimbulkan tanda tanya terhadap kedudukan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kerana umum mengetahui sokongan yang diterimanya sebelum ini memang sangat tipis.