Tak dapat sokongan Cina, MCA ‘dikuburkan’ di Sabah
(Ismaweb) – Parti berasaskan kaum MCA berjaya ‘dikuburkan’ di Sabah apabila tidak memenangi sebarang kerusi yang pertandingkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN), semalam.
Pemerhati politik, Budiyanto Unggun berkata, kekalahan MCA di Dewan Undangan Negeri (DUN) Karamunting, Likas, Elopura dan Kapayan adalah satu petunjuk jelas yang MCA tidak diterima kaum Cina di Sabah.
“Jika diambil daripada petunjuk ini, MCA pasti takut untuk bertembung dengan DAP di kerusi majoriti Cina di Semenanjung.
“Justeru, MCA akan menagih kerusi majoriti Melayu di Semenanjung pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15),” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Justeru, beliau mendesak PAS dan UMNO serta Bersatu yang berada di dalam Muafakat Nasional (MN) untuk tidak lagi memberikan kerusi majoriti Melayu kepada MCA pada PRU-15 akan datang.
“Beritahu kepada MCA untuk mereka bertanding melawan DAP. Biar Cina lawan Cina.
“Inilah masanya MCA buktikan yang mereka masih mendapat sokongan masyarakat Cina. Jika mereka gagal lagi, eloklah dikuburkan terus parti cauvinis MCA ini,” katanya.
Gabungan Rakyat Sabah (GRS) secara rasmi, membentuk kerajaan negeri yang baharu di Sabah, selepas memenangi 38 kerusi dalam PRN semalam.
GRS yang dianggotai Perikatan Nasional (PN) memenangi 17 kerusi, Barisan Nasional (BN) mendapat 14 kerusi, seterusnya Parti Bersatu Sabah (PBS) menawan tujuh kerusi.
Sementara Parti Warisan Sabah (Warisan) memenangi 29 kerusi, manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) menang dua kerusi, seterusnya Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) hanya satu kerusi. Manakala calon Bebas pula memenangi tiga kerusi.