Benar Warisan bentuk kerajaan adalah ‘campur tangan’ Yang di-Pertua Negeri, kata peguam


(FMT) – Seorang peguam menggesa Yang d-Pertua Sabah supaya tidak membenarkan Warisan membentuk kerajaan minoriti, dengan berkata, ia mengganggu proses demokrasi.

Tengku Ahmad Fuad, yang merupakan ketua penasihat undang-undang PPBM Sabah berkata, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan 3 calon Bebas menguasai 41 kerusi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mempunyai 73 kerusi.

GRS terdiri daripada Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN), PBS, STAR dan SAPP.

Penyokong Warisan, yang menang 29 kerusi, mendakwa parti itu boleh membentuk kerajaan dengan presidennya Shafie Apdal dilantik sebagai ketua menteri dengan alasan ia adalah parti tunggal dengan jumlah kerusi terbanyak dalam pilihan raya negeri itu.

“Namun, berdasarkan logik dan kefahaman undang-undang yang baik, jelas bahawa Perkara 6 (3) Perlembagaan Negeri Sabah menghendaki seseorang calon mendapat kepercayaan majoriti di DUN dan tidak hanya berdasarkan pada parti tunggal yang menang kerusi terbanyak dalam pilihan raya, walaupun tidak memperoleh kepercayaan majoriti dalam dewan,” kata Tengku Ahmad.

Beliau berkata, sekiranya parti tunggal dengan kerusi terbanyak boleh membentuk kerajaan, maka gabungan parti menjadi tidak bernilai, selain berlawanan dengan tujuan demokrasi.

Katanya, Perkara 6 (7), yang dijadikan hujah oleh penyokong Warisan tidak terpakai dalam situasi sekarang, malah ia mendedahkan kemahuan mereka untuk merampas kuasa secara tidak sah.

Beliau berkata, dalam kes bekas ketua menteri Musa Aman terhadap Yang di-Pertua Negeri Juhar Mahiruddin berhubung isu ketua menteri yang sah, Mahkamah Tinggi tmemutuskan bahawa untuk dilantik sebagai ketua menteri, seseorang itu mesti mendapat kepercayaan majoriti anggota DUN yang dipilih.

“Hakim Mahkamah Tinggi Yew Jen Kie berkata bahawa perkataan ‘majoriti’ dalam Perkara 6 (7) bermaksud lebih daripada separuh (50%). Ini tidak bermaksud ‘paling banyak’.

“Melainkan sekiranya ada parti yang menang lebih daripada 50% kerusi, Perkara 6 (7) tidak terpakai.

Oleh sebab itu, di bawah Perlembagaan Negeri Sabah, Tuan Yang Terutama (TYT) tidak mempunyai asas undang-undang untuk melantik Shafie Apdal sebagai ketua menteri kerana Warisan hanya memperoleh 29 kerusi DUN.”

Katanya, Yang di-Pertua menetapkan duluan pada 2018 apabila beliau tidak membenarkan BN, parti tunggal yang berdaftar, untuk membentuk kerajaan minoriti.

Jelasnya, Yang di-Pertua juga menetapkan duluan dengan membenarkan gabungan longgar terdiri daripada Warisan, PKR, DAP dan Upko untuk membentuk kerajaan pada 2018.

“Sekiranya beliau mengizinkan Warisan membentuk kerajaan minoriti selepas pilihan raya ini, maka beliau secara efektif akan mengganggu proses dan amalan demokrasi Sabah, sekali gus menafikan hak mereka yang dipilih oleh rakyat untuk membentuk kerajaan,” katanya.

 



Comments
Loading...