Anwar dan pintu belakang
Manzaidi Mohd Amin, Malaysia Gazette
Semalam, 28 September 2020, aku terima arahan dari Ketua Pengarang aku supaya bergegas ke ibupejabat PKR di Bangunan Merchant Square, Petaling Jaya, kerana Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama pimpinan Pakatan Harapan (PH) ada mesyuarat.
Tanpa berlengah, aku siapkan segala alat kerja aku, bungkus sumbat dalam beg dan terus menunggang motosikal meredah kesesakan jalan di Sungai Besi menuju ke Petaling Jaya.
Aku tiba di ibupejabat PKR lebih kurang jam 4 petang. Sudah ada dalam 10 ke 15 rakan media, iaitu wartawan dan jurugambar berkumpul di kaki lima pejabat PKR.
Sebaik aku tiba, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil keluar dari pejabat menuju ke kereta. Kami mengerumuninya bertanya pelbagai soalan, dia hanya senyum tanpa menjawab sambal masuk ke kereta.
Kami berlari pula berkumpul ke kaki lima pejabat PKR. Di situ pintu keluar masuk pemimpin PH untuk ke bilik mesyuarat di tingkat tiga bangunan itu. Selain itu, ada sebuah pintu belakang, tetapi mengikut makcik tukang cuci, pintu itu jarang digunakan, kecuali kalau ada hal ‘besar’.
Kami, media tidak ambil tahu sangat pasal pintu depan, pintu belakang kerana selama ini pun Anwar yang kami tahu, tidak pernah lari dari kami. Dia akan rempuh dan berdepan dengan gerombolan kami walau apa keadaan sekali pun.
Paling tidak pun, kalau beliau tidak mahu menjawab soalan wartawan, beliau sekadar senyum atau mengangkat tangan sambil berlalu menuju ke kereta. Itu yang kami kenal pasal Anwar. Kenapa nak lari dari media? Kami bukan makan orang. Kami hanya nak tanya.
Dan soalan kami bukan wajib dijawab pun. Kalau jawab, itu bonus bagi kami. Kalau tidak jawab pun sekurang-kurang kami buat berita beliau enggan mengulas. Itu saja. Kami buat kerja kami. Dia buat kerja dia. Antara kami dan dia, saling memerlukan.
Selang lima minit selepas Fahmi keluar, keluar pula Pengarah Strategi Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Dr. Dzulkefly Ahmad. Pun enggan mengulas apa-apa pasal mesyuarat petang itu. Dia juga berjalan menuju ke kereta dan terus meninggalkan bangunan ibupejabat PKR.
Mat Sabu juga enggan bercakap kepada media hasil mesyuarat PH di ibupejabat PKR, semalam.
Kami menunggu lagi sambil berbual sesama sendiri. Kemudian dalam jam 4.30 petang, Presiden Amanah, Mohamad Sabu keluar dari bilik mesyuarat. Kami cuba kerumun dia, dia hanya buat tidak tahu menuju ke kereta.
Abang Mat nampak ‘smart’, kacak dan segak bergaya. Dia pakai kot, baju-T oren, pelitup muka oren dan berkaca mata hitam. Rambut disikat rapi. Masuk ke kereta terus meninggalkan kami, yang sehingga hampir sejam belum mendapat apa-apa maklumat mengenai kandungan mesyuarat.
Kami tidak berputus asa. Kami menunggu dan terus menunggu sehingga seorang demi seorang pemimpin PH keluar dan tidak ada seorang pun mahu memberi komen, termasuk Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abd. Samad; Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail; dan Ketua Pengarah Pilihanraya Amanah Nasional, Datuk Dr. Hatta Ramli.
Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming juga enggan bercakap kepada media, walaupun wartawan Cina mengerumuninya mengajukan pelbagai soalan.
Kenapa semua mahu menutup mulut? Apa yang rahsia sangat sehingga tidak ada seorang pun pemimpin kanan PH mahu menjawab, walaupun sepatah? Semua sepakat mengunci mulut dan seboleh-bolehnya mahu mengelak dari bertemu media.
“Tak apalah kalau mereka tak mahu jawab, kita tunggu Anwar saja. Mesti Anwar akan jawab soalan kita. Pendek (jawab) pun jadilah,” kata seorang wartawan dari sebuah portal berita.
Jam menunjukkan 6 petang. Kereta VVIP yang diletak ditempat letak kereta sudah tinggal tidak banyak lagi. Ada dalam tiga empat buah, termasuk kereta yang dinaiki Anwar.
Tidak lama, dalam 10 minit selepas itu, kami lihat pemandu kereta Anwar meninggalkan bangunan pejabat PKR tanpa Anwar di dalamnya. Dan memang ketika itu pun Anwar belum ‘turun’ dari bilik mesyuarat.
Kami berfikiran positif. Kami buat andaian, mungkin pemandu Anwar keluar ke kedai membeli makanan atau minuman.
Jam 6.30 petang lebih kurang, seorang jurugambar dari sebuah portal rasa ragu-ragu dengan ‘kehilangan’ kereta Anwar, lalu membisikkan kepada kawannya, mungkin Anwar sudah keluar ikut pintu belakang pejabat itu.
Kami buat pecahan, sekumpulan tunggu di pintu masuk ke tingkat satu bangunan itu, satu kumpulan lagi ke bahagian belakang. Sampai kami di belakang bangunan, tidak ada sebarang pergerakan. Kosong. Sunyi dan sepi. Kami berpatah balik ke pintu depan.
Anwar belum juga ‘turun’. Jam sudah 7 malam. Cuaca makin gelap. Aku buat kesimpulan, Anwar sudah balik. Kata seorang kawan, kalau Anwar balik? Dia balik ikut (laluan) mana? Aku kata, mungkin ikut pintu belakang.
Mustahil, jawab kawan. Anwar tak akan buat begitu. Dia tahu media menunggu dia sejak jam 3 petang lagi. Tentu, dia akan jumpa kita.
Aku kata, secara logiknya, Mat Sabu sudah keluar. Saifuddin Nasutin sudah keluar. Fahmi, Khalid, Dr. Dzulkefly, Dr. Hatta pun sudah keluar. Anwar nak bermesyuarat dengan siapa lagi, kalau semua sudah keluar?
Anwar seorang pemimpin yang sibuk. Takkan dia masih terperap di bilik mesyuarat seorang diri sehingga jam 7 malam? Tentu dia sudah balik. Dia tidak mahu jumpa kita sebab dia tidak ada alasan untuk jawab soalan kita, aku buat konklusi.
Jam 7.30 malam, seorang lelaki keluar dari pejabat PKR. Kami bertanya. Dia kata, pejabat sudah kosong. Tidak ada seorang pun lagi. Kami kata, Anwar? Dia jawab, Anwar sudah pulang jam 5.30 petang lagi.
Anwar sudah pulang? Dia keluar ikut laluan mana? Lelaki itu mengangkat bahu tanda tidak tahu.
Kami berpandangan sesama sendiri. Rupanya kami menunggu ‘hantu’ di pejabat itu. Anwar sudah lama pulang dan mungkin sedang bergembira bermain bola dengan cucu. Kita pula masih berpeluh di kaki lima pejabat PKR menunggu orang yang tidak ada.
Aku bertanya lagi seorang diri. Kenapa Anwar lari ikut pintu belakang? Diakan seorang pemimpin yang berdarjat tinggi, mustahil dia takut kepada media sehingga terpaksa melarikan diri dari pintu belakang?
Kenapa dia nak melarikan diri dari media? Sedangkan dia seorang yang sangat peramah dengan media?
Kenapa dia tak mahu jumpa media? Sedangkan, sebelum ini pun kalau beliau tidak mahu jawab soalan wartawan, beliau hanya berdiam diri?
Apa yang tidak kena dengan Anwar semalam? Mungkinkah dia tidak mahu menjawab soalan mengenai jumlah kerusi yang dimilikinya? Sebelum ini, dia boleh menjawab pun ketika dia gagal menjadi perdana menteri kelapan. Tidak ada masalah pun.
Akhirnya, kami akur. Kami pulang dengan tangan kosong. Penat boleh, letih boleh. Ibarat menunggu buah yang tidak gugur. Tidak gugur tak mengapa lagi, ini kami berdepan dengan pejabat yang kosong, tetapi kami berprasangka masih berpenghuni.
Aku pun menuju ke motosikal dan meredah kesesakan jalan di Lebuh Raya Persekutuan pulang ke rumah.
Anwar oh Anwar. Hari-hari cakap kerajaan PN kerajaan pintu belakang, rupanya kau pun lari dari kami ikut pintu belakang.