Umat Islam Hilang Jati Diri, Banyak Berkelahi Dan Berebut Jawatan – Hadi


(Perak Today) – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan umat Islam hari ini sudah hilang jati diri.

Memetik laporan Astro Awani, beliau berkata mereka lupa akan kewajipan yang paling penting iaitu menegakkan kedaulatan Islam dan umatnya melalui konsep demokrasi pilihan raya yang aman di tanah air sendiri.

“Hari ini umat Islam hilang jati diri, mereka hanya leka mencari makan dan minum untuk mengisi perut serta tempat tinggal yang selesa.

“Mereka lebih banyak berkelahi dan berebut jawatan sehingga berpolitik atas kepentingan diri sendiri.

“Bahkan ramai yang beranggapan berpolitik sudah tidak penting lagi, lalu membiarkan sahaja urusan pemerintahan dengan tidak mengundi dan tidak mendaftar sebagai pengundi.

“Mereka membawa diri masing-masing dengan kerjaya semata-mata untuk makan dan tidur,” katanya menerusi bebenang yang bertajuk ‘Muhasabah Umat Islam’ dalam akaun Twitternya di sini, hari ini.

Abdul Hadi menambah ada juga pihak termakan dengan fahaman penjajah yang mengajar semua politik itu kotor, supaya urusan politik diserahkan kepada penjajah.

Ujarnya, kini umat Islam dipaksa menyerah kalah sehingga kehilangan kuasa sehingga kekuasaan itu dirampas oleh penjajah dan pihak asing.

Sehubungan itu, beliau mengajak umat Islam untuk kembali kepada kebenaran dengan beristiqamah.

 



Comments
Loading...