Covid-19 PRN Sabah Cluster: Ugutan PH untuk PRN Sabah bawa padah
(Suara Merdeka) – JIKA Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah tidak dibubar dan menjalani peralihan pasti tidak menyebabkan penularan Koronavirus (Covid-19) seperti sekarang.
Ini kerana sentimen yang cuba dimainkan ketika itu adalah dakwaan mengatakan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) mengkhianati mandat rakyat.
Justeru, bagi mendapat kepercayaan rakyat Sabah, BN dan PN perlu tunduk kepada ugutan sedemikian untuk mengelak daripada tuduhan mengatakan kerajaan PN membelakangi demokrasi.
Malah, jika BN dan PN enggan pilihan raya diadakan, sentimen merampas hak mengundi warga Sabah pula dimainkan.
“Masa kempen PRN Sabah sedang berlangsung, geng PH (Pakatan Harapan) dan NGO (organisasi bukan kerajaan) yang sewaktu dengan mereka seperti Aliran dan BERSIH telah membantah cadangan Menteri Kesihatan kerajaan PN melaksanakan kuarantin wajib.
“Sebab, mereka kata ini akan hentikan penyokong PH dari semenanjung untuk pulang mengundi.
“Masa itu, PH kata mereka sanggup mati daripada menyerah kuasa kepada PN. Lalu mereka memaksakan PRN Sabah walaupun dibantah kuat BN.
“Saya percaya kerajaan PN terpaksa tunduk pada ugutan ini sebab tidak mahu PH menjadikan ini sebagai satu isu hangat.
“Dengan menuduh kerajaan pusat PN telah membelakangani demokrasi serta merampas hak mengundi warga Sabah.”
Demikian kata bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini dalam kenyataannya mengulas peningkatan kes jangkitan Covid-19.
Tambahnya, pandemik itu tidak akan menular dengan mendadak seperti sekarang jika PH menyokong saranan kuarantin lebih awal.
Katanya, sekiranya arahan kuarantin dilaksanakan lebih awal, kes Covid-19 di semenanjung yang berasal dari Sabah mampu dielak.
Najib juga berkata demikian bagi mempertahankan kebenaran berhubung Menteri Agama, Senator Datuk Seri Dr. Zulkifli Al Bakri yang disahkan positif Covid-19 semalam.
Katanya, Dr. Zulkifli pulang lebih awal sebelum arahan saringan dan kuarantin dikenakan bagi mereka yang pulang dari Sabah pada 26 September.
“Walaupun Menteri Agama kerajaan PN ini banyak mempertahankan PH serta mengecam saya semasa dia Mufti WP termasuk mempersoalkan sumpah laknat saya di Masjid, saya rasa ada keperluan untuk mempertahankan kebenaran.
“Ramai yang maki dia langgar kuarantin selepas pulang dari Sabah. Lalu dia menghadiri banyak acara awam.
“Tapi dia pulang dari Sabah pada 24 September iaitu sebelum arahan saringan dan kuarantin wajib bagi semua yang pulang dari Sabah dikeluarkan pada 26 September,” ujarnya.
Dalam masa sama, Najib turut mempersoalkan kerajaan PN mengeluarkan arahan kuarantin tiga hari berbanding tempoh inkubasi Covid-19.
“Patut wajibkan 14 hari sebab itu adalah tempoh inkubasi Covid walaupun ramai yang pilih (termasuk saya) untuk kuarantin diri secara sukarela selama 14 hari.
“Tapi nasi dah jadi bubur. Namun PH dan PN tidak patut mengulangi kesilapan besar ini pada masa depan.
“Saya juga berdoa agar Menteri Agama pulih sepenuhnya dengan secepat mungkin,” ujarnya.