Pakatan Harapan yang sokong Shafie bubar DUN Sabah


(Harakah) – ISU penularan COVID19 nampaknya terus menjadi senjata untuk menjatuhkan musuh politik. Seorang Menteri dan beberapa ADUN telah disahkan positif. Rakyat sudah mengalami kebimbangan dengan penularan yang mencatat pertambahan kes baru secara harian yang menghampiri 500 kes sehari. Ia bukan isu politik sebenarnya, tetapi ia adalah penularan wabak yang tidak mengenal batas politik.

Soalnya, kenapa mesti dipersalahkan ahli-ahli politik sahaja. Padahal rakyat dibenarkan bergerak melintasi sempadan negeri tanpa perlu kuarantin. Yang perlu dikuarantin adalah mereka yang datang dari luar negara. Sehingga 27 September 2020 pun, sesiapa yang pulang dari Sabah tidak dikehendaki berbuat demikian. Kenapa dipersalahkan kepada orang yang tidak bersalah menurut undang-undang? Guna undang-undang apa kalian?

Sebenarnya kes COVID19 yang berpunca dari kluster politik jumlahnya kecil sahaja. Yang banyak tersebar adalah dari punca-punca yang lain, termasuk kemasukan pendatang asing dan juga pergerakan biasa rakyat yang melancong dalam negeri di Sabah. Pergerakan antara Sabah dengan Semenanjung banyak berlaku melibatkan lawatan dan ziarah pelancongan, perniagaan, kekeluargaan dan lain-lain. Ia bukan semata-mata kerana PRN. Kita harus rasional dalam hal ini, jangan membuat tuduhan umum yang dipersalahkan semuanya ke atas ahli-ahli politik, khususnya pemimpin kerajaan.

Saya faham bahawa kerja pembangkang ialah menyalahkan kerajaan. Tetapi dalam isu PRN Sabah, bukan ahli politik kerajaan sahaja terlibat, bahkan pembangkang juga. Kita mendengar rungutan keras Taresa Kok dari DAP apabila dia dikenakan sekatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu akibat tersalah maklumat dalam borang berkaitan kawalan COVID19. Kita juga diberitahu ada ADUN DAP dan PKR juga telah disahkan positif COVID19. Bahkan, Menteri Besar Selangor yang sedang menjalani kuarantin juga telah melanggar perintah ini. Ertinya, pemimpin politik pembangkang juga terlibat, maka jangan sedap-sedap menyalahkan ahli politik kerajaan sahaja. Nanti ludah yang dihembur ke langit, jatuh ke muka sendiri.

Jika benar ahli-ahli politik hendak dipersalahkan, maka sudah pasti ia berpunca dari PRN Sabah. Umum sudah mengetahui, bahawa yang bermati-matian mahu membubarkan DUN Sabah ialah pemimpin WARISAN. Bahkan dia mendapat sokongan padu pemimpin tertinggi PH. Pemimpin politik kerajaan tidak bersetuju dengan tindakan ini. Kenapa tidak dihemburkan sahaja seluruh kemarahan kepada mereka yang mahu membubarkan DUN Sabah itu?

 



Comments
Loading...