Mujahid Yakin Anwar Ada Majoriti, Akan Jadi PM Kerajaan PH 13 Oktober Ini


(Suara TV) – Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa mengajak rakyat mendoakan agar langkah Datuk Seri Anwar Ibrahim akan sampai di balai mengadap istana pada 13 Oktober ini.

Dengan yakin, beliau mengingatkan semua pihak, termasuk parti gabungan Pakatan Harapan (PH), jika sampai masanya nanti Anwar berjaya membentuk kerajaan baharu, usah berseronok dan bersorak.

Sebaliknya, kata beliau, mereka harus insaf dan berendah diri kerana bebanan atas bahu Presiden PKR dan dan majoriti Ahli Parlimen yang menyokongnya lebih berat dari apa yang dibayangkan.

“Ini bukan mengenai politik kuasa, tetapi amanah dan taklif menguruskan negara di saat krisis,” katanya menerusi hantaran terbaharunya dalam Facebook beliau, hari ini.

Dr. Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar mengakui tarikh 13 Oktober ini adalah tanggal yang mendebarkan semua pihak.

Katanya, apabila Anwar akan mengadap Yang di-Pertuan Agong, di Istana Negara, secara logiknya semua boleh agak tujuan dan hasil pertemuan itu nanti.

Ini menurut beliau, berpandukan sidang akhbar Anwar selaku Pengerusi PH di sebuah hotel di ibu negara pada 22 September lalu.

“Pada sidang media khas itu, Anwar mendakwa dia ada majoriti yang kuat dan meyakinkan dari kalangan Ahli Parlimen yang menyokong beliau untuk membentuk kerajaan.

“Dengan pengumuman itu juga bermakna kerajaan Perikatan Nasional (PN) bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin telahpun tumbang.

“Logiknya, Perdana Menteri kesembilan akan dipilih di kalangan yang ada majoriti dan akan dipersembahkan kepada baginda Yang di-Pertuan Agong untuk perkenan dan akan berlaku pelantikan,” katanya.

Kata Dr. Mujahid, itulah yang dijangkakan berlaku Selasa ini dan pasca 13 Oktober nanti serta akhirnya secara logik akan terbentuk sebuah kerajaan baharu di bawah kepimpinan Anwar sebagai Perdana Menteri.

“Saya dihujani pelbagai reaksi sebagai respons kepada tulisan saya selepas pengumuman 22 September itu.

“Ada yang mengkritik soal kewajaran, sama ada sesuai pada masa pandemik mahupun pandangan yang menolak sama sekali pengumuman Anwar atas alasan beliau dan PH main politik saat rakyat menderita kerana Covid-19.

“Ada juga yang menyokong gerakan ‘pause’, kononnya masa sekarang ialah masa ‘gencatan senjata’ dalam soal politik untuk memberi tumpuan kepada masalah negara,” katanya.

Menurutnya, beliau memahami semua respons itu, tetapi intipati langkah Anwar adalah berpandukan kepada beberapa keperluan utama yang sangat mendesak khususnya di waktu Covid-19 ini.

Katanya, Anwar perlu mengembalikan mandat asal yang diamanahkan oleh pengundi kepada PH pada PRU 2018 yang lalu setelah ‘dijatuhkan’ oleh Langkah Sheraton melalui perancangan licik Muhyiddin dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ketika Covid-19 sudahpun melanda negara.

“Mandat asal akan mengembalikan kepercayaan rakyat semula kepada kerajaan dan ia sangat diperlukan pada saat krisis.

“Anwar juga perlu membentuk majoriti yang kukuh setelah majoriti kerajaan Muhyiddin terbukti sangat rapuh, sedangkan semasa krisis seperti ini, sebuah kerajaan yang kukuh majoritinya sangat diperlukan dan Anwar ada kekuatan itu untuk menyumbang kepada pengurusan krisis Covid-19 dengan sokongan majoriti lebih padu dan kukuh.

“Mengembalikan semula asal kedudukan kuasa yang diambil secara demokratik oleh PH dahulu selepas kes awalan yang buruk ditunjukkan oleh Langkah Sheraton supaya tindakan sebegitu rupa tidak lagi berulang,” katanya.

 



Comments
Loading...