Penduduk tinggalkan bandar Diraja menjelang PKPB di Klang


Kesesakan berlaku di Kampung Jawa menghala ke Jalan Kebun dan di plaza tol Setia Alam apabila jumlah kenderaan yang bergerak keluar semakin bertambah, antara jalan keluar dari Klang. Kesesakan teruk juga dikesan sepanjang 10-km dari Persiaran Raja Muda dari arah Pelabuhan Klang menghala ke Lebuhraya Persekutuan hingga ke Shah Alam.

(Malaysia Now) – Terdapat peningkatan keluar dari Klang oleh penduduk yang takut terkurung di rumah, menjelang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) selama dua minggu yang akan bermula tengah malam ini.

Semakan MalaysiaNow mendapati ramai yang menyambut baik keputusan kerajaan untuk melaksanakan PKPB disebabkan peningkatan kes Covid-19 di daerah itu, iaitu melebihi 40 kes.

Tetapi, ramai penduduk tidak bersedia untuk “terkurung” di bandar Diraja itu, dengan balai polis sesak dengan yang mahu memohon bagi mendapatkan kebenaran untuk melakukan rentas daerah.

Kenderaan bertambah di jalan-jalan keluar dari Klang.

Kesesakan berlaku di Kampung Jawa menghala ke Jalan Kebun dan di plaza tol Setia Alam apabila jumlah kenderaan yang bergerak keluar semakin bertambah, antara jalan keluar dari Klang.

Kesesakan teruk juga dikesan sepanjang 10-km dari Persiaran Raja Muda dari arah Pelabuhan Klang menghala ke Lebuhraya Persekutuan hingga ke Shah Alam.

Ramai yang ditemui MalaysiaNow berkata, memori fasa pertama perintah kawalan pergerakan, atau PKP yang menyaksikan perniagaan, sekolah dan tempat kerja ditutup masih segar dalam ingatan mereka.

Jurutera Petronas Shafik Ahmad yang tinggal di bandar Klang berkata sudah memohon untuk bekerja dari rumah.

“Saya bagi tau isteri untuk bawa anak-anak semua pulang ke kampung. Saya rasa ini cara yang terbaik daripada kami semua terperangkap dalam Klang dan pada masa yang sama kami juga dapat meluangkan masa dengan mak ayah dekat kampung,” katanya kepada MalaysiaNow.

Seorang lagi warga Klang yang ditemui, Ahmad Badlishah juga merancang untuk ke rumah kakaknya di Seri Kembangan agar dapat ke tempat kerja tanpa melalui pelbagai sekatan jalan raya.

Di bawah PKPB sesiapa yang mahu melakukan perjalanan ke tempat kerja di sekitar Lembah Klang perlu mendapatkan surat daripada majikan dan menyerahkannya kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan.

Orang ramai sudah mula membeli-belah sebagai persediaan kepada PKPB yang akan dilaksanakan selama dua minggu di Klang, Selangor.

Sementara itu tinjauan di beberapa pasar raya juga didapati semakin sesak dengan orang ramai yang melakukan pembelian barang saat akhir, bekalan untuk dua minggu.

“Kita harus kekal tenang. Kita mempunyai masa untuk tambah bekalan. Kita juga masih boleh pergi membeli barangan yang diperlukan di Klang seperti yang ditetapkan dalam SOP di bawah PKPB,” kata Haslina yang ditemui di Aeon Big di Bukit Tinggi.

Manakala salah seorang peniaga kedai makan yang ditemui pula menyuarakan kebimbangan apabila Klang diletakkan di bawah PKPB.

“Saya sangat sedih dan risau la apabila Klang sekarang sudah masuk zon merah lagi sekali. Saya bimbang perniagaan saya akan rugi lagi sekali.

“Saya berharap jangan la sekat kami berniaga. Kami perlu beri anak bini semua makan, mana lagi mau cari duit,” kata Kunani, 32 yang berniaga kedai makan di bandar Klang.

Bagaimanapun menerusi kenyataan yang dikeluarkan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) Mohamed Azmin Ali petang tadi memutuskan untuk membenarkan semua sektor ekonomi di daerah Klang beroperasi seperti biasa dengan pematuhan ketat kepada prosedur operasi standard (SOP).



Comments
Loading...