Agong Tidak Akan Layan Tindakan ‘Desperado’ Anwar – Takiyuddin
(Perak Today) – Pas menyatakan keyakinan bahawa Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tidak akan melayan tindakan ‘desperado’ Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Utusan Online melaporkan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, isu yang dibangkitkan oleh Anwar adalah tindakan terdesak yang mempunyai kepentingan serta cita-cita peribadi.
Katanya, Anwar juga seperti menangguk di air yang keruh ketika kerajaan Perikatan Nasional (PN) sedang menguruskan masalah Covid-19 serta langkah pemulihan ekonomi negara.
“Pas ingin menegaskan semua 18 ahli Parlimen menyokong penuh Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri yang memimpin kerajaan PN sekarang.
“Dalam hal ini, Pas sekali lagi amat yakin Yang di-Pertuan Agong tidak akan melayan tindakan ‘desperado’ ini, sebaliknya Baginda akan mengendalikannya berdasarkan peruntukan undang-undang dan Perlembagaan negara yang amat jelas,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Khamis lalu, Anwar mendakwa telah mendapat perkenan menghadap Al-Sultan Abdullah pada 13 Oktober ini.
Dalam satu kenyataan, ketua pembangkang itu berkata, akan mempersembahkan keterangan lengkap mengenai jumlah majoriti ahli Parlimen yang didakwa menyokongnya seperti dinyatakan ketika sidang akhbar pada 23 September lalu.
Terdahulu, Anwar mendakwa beliau mempunyai majoriti kukuh dan meyakinkan, iaitu hampir dua pertiga kerusi Parlimen bagi membentuk kerajaan serta akan mempersembahkannya kepada Yang di-Pertuan Agong.
PLEASE FOLLOW US ON FACEBOOK HERE https://www.facebook.com/malaysiatodayportal/