Polis panggil Anwar atas senarai didakwa sokongan 121 ahli Parlimen


(FMT) – Polis memanggil Anwar Ibrahim untuk memberi keterangan berhubung penyebaran senarai 121 ahli Parlimen didakwa menyokong ketua pembangkang itu bagi membentuk kerajaan baru.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed berkata, polis pada mulanya memanggil Anwar untuk memberi keterangan pada 11 pagi tadi, tetapi setiausahanya memaklumkan presiden PKR itu hanya dapat hadir 9 pagi esok.

“Justeru, polis menangguhkan janji temu itu sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Huzir berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, selepas menerima laporan Ahli Parlimen Jerantut, Ahmad Nazlan Idris pada 8 Okt lalu.

“Sehingga kini, 6 laporan polis diterima dan polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung dakwaan yang tersebar luas di media massa sejak kebelakangan ini.”

Bulan lalu, Anwar mengumumkan beliau “sokongan dan majoriti kukuh serta meyakinkan” daripada ahli Parlimen pelbagai parti untuk menubuhkan kerajaan baru.

Ahli Parlimen Port Dickson itu dijangka menghadap Yang di-Pertuan Agong esok.

Huzir menasihatkan rakyat tidak bimbang dengan penyebaran berita itu dan memberi amaran polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap mereka yang menyebarkan berita palsu, tidak sahih serta mengelirukan orang ramai.

PLEASE FOLLOW US ON FACEBOOK HERE https://www.facebook.com/malaysiatodayportal/

 



Comments
Loading...