Syarat baru Umno: Umno PM, Bersatu TPM?


(Malaysia Dateline) – Antara syarat yang diharap akan diletakkan Umno kepada Bersatu adalah perdana menteri hendaklah dari Umno manakala timbalan perdana menteri datang dari Bersatu.

Ini kerana, Umno yang mempunyai kerusi paling banyak dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekarang berbanding Bersatu dan parti-parti yang lain.

“Ini baru betul, yang majoriti tentukan hala tuju pemerintahan, bukan parti minoriti buli majoriti. Tahniah Umno!

“Harap antara syarat yang diletakkan ialah Umno Perdana Menteri, PPBM TPM,” tulis orang kanan Datuk Seri Najib Razak, Datuk Lokman Noor Adam menerusi facebook beliau.

Bagi bekas Pengarah Komunikasi Kementerian Kewangan ketika Najib menjadi menteri itu, Umno boleh sahaja keluar dari kerajaan PN jika Bersatu tidak setuju dengan syarat itu.

“Kalau tak setuju keluar aje dari Perikatan Nasional. Takde masalah kita jadi pembangkang hingga PRU15.

“Jika Umno keluar dari PN dan tidak menyokong Anwar. Muhyiddin Tumbang, Anwar tak jadi PM dan PRU dapat diadakan sebaik Covid reda. Tak lama manapun,” tulis beliau lagi.

Biro Politik Umno dalam mesyuarat mereka malam tadi membuat keputusan untuk mempertimbangkan keluar dari kerajaan PN jika Bersatu tidak setuju dengan syarat baru mereka.

Syarat baru Umno itu akan dikemukakan kepada Tan Sri Muhyiddin Yasin hari ini.

 



Comments
Loading...