‘Anwar takkan kerjasama dengan MP Umno terbabit kes rasuah’
(Malaysiakini) – Pengasas bersama PKR, Dr Syed Husin Ali percaya presiden parti itu, Anwar Ibrahim akan mematuhi keputusan Pakatan Harapan (PH) untuk tidak bekerjasama dengan anggota parlimen Umno yang berhadapan kes rasuah di mahkamah, dalam usaha membentuk kerajaan baru.
Ini berikutan kebimbangan bahawa Anwar mengadakan perjanjian dengan anggota parlimen Pekan, Najib Razak, yang telah disabitkan bersalah atas kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.
Sebelum ini terdapat laporan bahawa Najib bersama Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi – yang juga menghadapi kes di mahkamah – telah menulis surat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menyatakan sokongan kepada Anwar.
“PH tak menerima, saya tak kata takkan terima (MP Umno), saya kata tak menerima bekerjasama dengan Najib dan Zahid. Anwar sebagai pengerusi PH harus hormati keputusan PH,” kata Syed Husin kepada Malaysiakini.
Syed Husin berkata, PH yang terdiri daripada PKR, DAP dan Amanah telah memutuskan bahawa sebarang pembentukan kerajaan baru tidak akan melibatkan anggota parlimen Umno yang didakwa terlibat kes rasuah.
“Itu keputusan PH. Anwar akan bersama dengan keputusan PH. PH boleh bekerjama dengan Umno secara individu – ahli-ahli umno yang tak semestinya dengan Umno secara keseluruhan,” kata Dr Syed Husin.
Anwar pada 23 Sept lalu mendakwa memperoleh majoriti kukuh untuk membentuk kerajaan baru.
Beberapa jam selepas pengumuman itu, Zahid mengeluarkan kenyataan yang mengesahkan terdapat ramai ahli parlimen Umno memberi sokongan kepada Anwar dan parti itu tidak dapat menghalang mereka.
Ini menimbulkan kebimbangan, terutama dalam DAP, jika Anwar bekerjasama dengan Zahid yang menghadapi 47 tuduhan pengubahan wang haram, rasuah dan pecah amanah di mahkamah.
Anwar setakat ini belum mendedahkan senarai nama anggota parlimen yang didakwa menyokongnya tetapi telah mempersembahkan dokumen sahih sokongan 120 anggota parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong.
Bagaimanapun, sesi menghadap Seri Paduka ditangguhkan sehingga tamat perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) yang berakhir pada 27 Okt.
PKPB dilaksanakan semula di Kuala Lumpur setelah berlaku lonjakan kes Covid-19.
Semalam, MalaysiaNow melaporkan bahawa Najib dan Zahid telah menyampaikan surat kepada Seri Paduka bagi menunjukkan sokongan kepada Anwar.
Naib Presiden Umno, Mohamed Khaled Nordin dipetik Astro Awani bagaimanapun menafikan surat berkenaan dan menyebutnya sebagai “spekulasi” semata-mata.
Ini berlaku di tengah rasa tidak puas hati pimpinan Umno terhadap Bersatu, yang mendakwa parti itu diketepikan dalam kerajaan.
Umno baru-baru ini mempertimbangkan untuk menarik diri daripada menyokong Perikatan Nasional (PN) dan sebaliknya memberikan syarat baru kepada gabungan itu bagi meneruskan kerjasama politik.
Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin pada masa ini memiliki majoriti tipis dengan hanya memperoleh 113 sokongan daripada jumlah keseluruhan 222 anggota parlimen.
Semalam, Muhyiddin dilapor meminta Umno memperincikan syarat baru mengenai kerjasama politik dengan PN dalam usaha menyelamatkan gabungan itu.