GENCATAN POLITIK


Anthony Loke Siew Fook

1) Saya mengikuti dengan dekat perkembangan politik dalam negara beberapa minggu ini. Namun, saya mengambil pendirian tidak memberi sebarang komen walaupun diasak-asak berkali-kali oleh rakan-rakan media.

2) Saya membaca dengan teliti pengumuman daripada Presiden UMNO semalam berkenaan “gencatan politik” susulan penularan mendadak Covid-19 dan terus mendukung kerajaan Perikatan Nasional. Seterusnya, kenyataan ini disambut oleh Ketua Pemuda UMNO yang menyokong keputusan tersebut kerana menolak kerjasama dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pakatan Harapan, khususnya DAP.

3) “Gencatan politik” merujuk kepada “pendamaian sementara” dua pihak yang bertentangan dalam politik khususnya di antara pihak dalam kerajaan dengan pihak yang berada dalam pembangkang. Dalam konteks politik Malaysia, garis tersebut amat jelas sekali di Dewan Rakyat dengan 113 Ahli Parlimen yang membentuk kerajaan Perikatan Nasional (termasuk 39 Ahli Parlimen UMNO) manakala 109 Ahli Parlimen yang berada dalam blok pembangkang yang menentang Perikatan Nasional.

4) Yang peliknya, Presiden UMNO yang partinya berada dalam kerajaan Perikatan Nasional mengumumkan “gencatan politik”. Secara tidak langsung, beliau mengakui bahawa memang ada rancangan untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional. Cuma sekarang kerana kes Covid-19 yang semakin meningkat, mereka berdamai sementara.

5) Untuk rekod, tidak ada seorang pun pemimpin DAP yang pernah menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan UMNO untuk membentuk kerajaan baru.

6) Pendirian DAP menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri sekiranya beliau mendapat sokongan majoriti di Dewan Rakyat adalah satu pendirian yang konsisten dan selari dengan kerangka perjanjian yang dicapai dalam Pakatan Harapan selama ini. Jangan lupa bahawa perjanjian ini telah pun dimeterai oleh semua parti dalam Pakatan Harapan termasuk PPBM sebelum Pilihanraya Umum ke-14.

7) Sebenarnya saya telah pun mengemukakan pandangan berkenaan “gencatan politik” seawal bulan Ogos yang lalu, sebelum pun Pilihanraya Negeri Sabah diadakan. https://www.malaysiakini.com/news/539061

8) Saya berpandangan semua parti perlu berlapang dada dan bersedia untuk duduk di meja rundingan untuk menyelesaikan kemelut politik ketika ini.

9) Pemimpin politik mesti bersedia untuk “provide leadership”. Mesej yang jelas mesti disampaikan kepada seluruh rakyat Malaysia iaitu tidak ada pilihanraya umum sehingga tempoh Parlimen ke-14 berakhir, fokus seluruh tenaga untuk memerangi wabak Covid-19 dan merancakkan semula ekonomi.

10) Marilah kita sama-sama menjadi pemimpin kepada rakyat, bukan politikus semata-mata!

 



Comments
Loading...