Simpan sahaja hasrat mahu menjadi PM
(Harakah) – Ahli Parlimen Kuala Krai Abdul Latiff Abdul Rahman menyeru mana-mana ahli politik ‘simpan sekejap niat’ untuk menukar Perdana Menteri.
Menurutnya, paling tidak pembangkang dan kerajaan berganding bahu mencari penyelesaian untuk memacu negara keluar daripada belenggu Covid-19 yang meninggalkan impak terhadap negara pada sesi persidangan Parlimen akan datang.
Kata Abdul Latiff, rakyat pastinya ternanti-nanti pembentangan bajet akan datang yang sudah tentu membincangkan perihal berkaitan Covid-19 yang masih belum berpenghujung.
“Bajet kali ini dilihat sangat penting untuk menghadapi kemelut Covid-19 yang masih belum berpenghujung.
“Dengan bajet yang bakal dibentangkan nanti, kerajaan dapat menggunakannya untuk mengurus negara dan lebih pentingnya untuk kebajikan kepada seluruh rakyat jelata.
“Rakyat tentunya menjadi keutamaan terpenting bagi sesebuah kerajaan. Bagi sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, saya yakin bajet kali ini akan mengutamakan keseluruhan keperluan rakyat terbanyak, termasuk operasi melindungi nyawa,” ujarnya.
Abdul Latiff berpandangan demikian dalam satu kenyataannya hari ini bagi mengulas situasi politik negara yang dilihat terancam.
Sikap pembangkang menurutnya seolah-olah tidak jemu mahu menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau menyifatkan pembangkang seolah-olah tidak tahu duduk diam dan terus-menerus menyulitkan situasi sedia ada yang memberi ancaman kepada kestabilan negara.
“Menjadi persoalan dan teka-teki kepada kita semua ialah bagaimana pembangkang hari ini seakan tidak reti duduk diam, satu demi satu tohmah dilontar, beraneka domba dimainkan, terkinja-kinja melalak mahukan penukaran kerajaan.
“Di ketika Covid-19 kembali meningkat, mereka turut sama terus menyulitkan keadaan. Usul undi tidak percaya di kalangan Ahli-ahli Parlimen pula sangat tidak releven.
“Andainya Perdana Menteri tidak mendapat kepercayaan di Dewan Rakyat, adakah pembangkang berhasrat inginkan satu lagi pilihan raya segera?” soal Abdul Latiff.
Beliau bertegas pilihan raya tentunya bukan jalan terbaik ketika ini dan pastinya tidak akan menyelamatkan rakyat malah memporak-perandakan lagi keadaan negara ini.
“Kelihatannya mereka ingin mencalonkan Perdana Menteri yang baharu. Persoalannya, siapa?
“Tun Dr Mahathir? Dato’ Seri Anwar Ibrahim? atau Datuk Seri Shafie Apdal?” soalnya bertalu-talu.
Hal ini kerana, menurut Abdul Latiff, kesemua mereka terbukti tidak mempunyai bilangan majoriti Ahli Dewan Rakyat yang mencukupi untuk mengambil alih negara, disebabkan itu Tan Sri Muhyiddin Yassin terpilih sebagai Perdana Menteri.
Tambah beliau, menggugat kestabilan negara adalah perkara mudah, namun hakikatnya pertukaran pemerintahan negara ketika ini belum tentu mampu mengusir Covid-19.
“Adakah dengan bertukar Perdana Menteri boleh menghapuskan wabak dan negara ini menjadi semakin baik?
“Sesebuah kerajaan perlukan kestabilan dan masa. Rakyat mesti didahulukan, dan negara semestinya diselamatkan.
“Paling tidak berganding bahu dengan memberi cadangan kepada kerajaan untuk keluar daripada pandemik ini. Peri pentingnya sekarang ialah bersama menyelesaikan wabak Covid-19 secara bersama,” katanya.