Anwar buat keputusan sendiri dalam rancangan terbarunya, kata Guan Eng
Di atas sebab itu kenapa pemimpin PH tidak bersama-sama ketika Anwar membuat pengumuman pada 23 September lepas.
(Malaysia Now) – DAP akhirnya membuka mulut berhubung rancangan terbaru Anwar Ibrahim untuk merampas Putrajaya, mengatakan presiden PKR itu membuat keputusan sendiri tanpa berbincang dengan parti-parti lain dalam Pakatan Harapan (PH).
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, ini sebabnya mengapa beliau dan pemimpin-pemimpin PH lain tidak bersama-sama ketika Anwar membuat pengumuman pada 23 September lepas.
“Bukankah ia wajar dibuat pihak yang sesuai, berbanding Anwar seorang? Kita bimbang ini akan menjejaskan kewibawaannya, tetapi dia sangat yakin,” kata Lim dalam satu wawancara bersama Malaysiakini yang disiarkan hari ini.
“Dia membuat keputusan itu, dan sebab itu kami tidak berada bersama ketika pengumuman. Itu keputusannya sendiri.”
Lim berkata, Anwar turut dipersoalkan mengapa membuat pengumuman untuk menumbangkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin tiga hari sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Lim turut mengecam kenyataan dikeluarkan PKR baru-baru ini yang menunjukkan parti pimpinan Anwar itu seolah-oleh memang bekerjasama dengan Umno.
Bekas menteri kewangan itu berkata, DAP sudah memberitahu Anwar kerjasama dengan Umno bukanlah satu pilihan.
“Kita berlawan dengan Umno. Ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, di Kota Kinabalu, saya kata kita tak akan bersama dengan Umno di bawah pimpinannya, Ahmad Zahid Hamidi dan Najib Razak,” katanya.
“Kita melawan mereka dalam pilihan raya. Kita bersatu dalam hasrat menyingkirkan kerajaan kleptokrat Barisan Nasional (BN) yang diketuai Umno, bagaimana kita boleh patah balik dan bekerjasama dengan mereka?”
Pada 21 Oktober, Zahid selaku presiden Umno menggesa “gencatan politik” seminggu selepas Biro Politik parti itu mempertimbangkan semula sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin Yassin.
Dalam satu kenyataan melalui setiausaha agungnya selepas itu, Saifuddin Nasution Ismail mengatakan PKR menghormati keputusan Umno tetapi parti itu akan terus berusaha “ke arah mengembalikan mandat rakyat” bersama-sama ahli Parlimen yang mempunyai hasrat sama.
Kenyataan Zahid dikeluarkan beberapa hari selepas MalaysiaNow mendedahkan Zahid bersama Najib menulis secara sepihak kepada Yang di Pertuan Agong menyatakan sokongan terhadap rancangan Anwar untuk menumbangkan Muhyiddin.
Dalam wawancara bersama Malaysiakini Lim menyifatkan kenyataan Saifuddin sebagai “tidak dijangka” dan tidak mencerminkan pendirian PH.
Ahli Parlimen Bagan itu berkata, ketika Anwar membuat pengumuman memiliki majoriti “kukuh dan meyakinkan” pada 23 September lalu, DAP difahamkan sokongan diperolehi termasuk daripada beberapa parti politik dan ahli Parlimen secara individu, tetapi bukan Umno.
“Pendirian kami dan PH jelas. Anda perlu tanya PKR tentang pendirian mereka,” katanya seperti dilaporkan portal itu.